Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PBB sambut baik penerbangan komersil pertama Sanaa, Yaman ke Amman, Jordan

Anggaran Waktu Membaca:
PBB sambut baik penerbangan komersil pertama Sanaa, Yaman ke Amman, Jordan

Gambar hiasan. (Gambar: Tiziana Fabi/AFP)

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyambut baik penerbangan komersil pertama selepas enam tahun yang dijadualkan berlepas dari lapangan terbang Sanaa, Yaman sebagai langkah penting terhadap persetujuan gencatan senjata selama dua bulan, lapor Xinhua, memetik jurucakap PBB pada Khamis.

Penerbangan itu dijadual berlepas pada Ahad ke destinasi pertamanya Amman, Jordan kata Stephane Dujarric, ketua jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

"PBB mengucapkan terima kasih kepada pemerintah Hashemite Jordan atas sokongannya dalam mencapai persetujuan ini, dan pemerintah Yaman terhadap peranannya dalam menjayakan perkara ini."

Badan dunia itu mengharapkan semua pihak yang terlibat untuk memastikan penerbangan itu berjaya, kata Encik Dujarric.

Penerbangan itu merupakan elemen penting gencatan senjata yang dicapai antara pemerintah dan puak Houthi baru-baru ini melalui pengantaraan wakil khas PBB ke Yaman, Hans Grundberg.

"Grundberg bekerjasama dengan pihak berkaitan demi memastikan gencatan senjata tercapai, termasuk ada kemajuan dalam membuka laluan di Taiz dan daerah lain bagi memudahkan pergerakan rakyat Yaman dalam negara mereka," kata Dujarric.

Grundberg juga berhubung dengan pelbagai entiti lain untuk mengukuh dan melanjutkan gencatan senjata serta membina momentum ke arah penyelesaian politik yang mampan.

Yaman dibelenggu perang saudara sejak akhir 2014, apabila Houthi menguasai beberapa wilayah utara dan memaksa kerajaan Yaman keluar dari Sanaa.

Sumber : Bernama/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan