Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PBB rayu derma AS$5 bilion bantu Afghanistan

Anggaran Waktu Membaca:
PBB rayu derma AS$5 bilion bantu Afghanistan

Ketua Bantuan PBB Martin Griffiths semasa sidang media pada 10 Januari 2022. (Gambar: Fabrice Coffrini/AFP)

Diterbitkan : 12 Jan 2022 09:37AM Dikemas Kini : 12 Jan 2022 09:37AM

GENEVA:Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memerlukan AS$5 bilion (S$6.75 bilion) untuk membantu Afghanistan pada 2022 bagi mengelak malapetaka kemanusiaan dan menawarkan masa depan kepada negara itu selepas 40 tahun menderita.

Dalam rayuan terbesar untuk sebuah negara, PBB menyatakan, AS$4.4 bilion (S$5.94 bilion) diperlukan di Afghanistan, manakala AS$623 juta (S$840 juta) lagi diperlukan untuk menampung jutaan rakyat Afghanistan yang mendapatkan perlindungan di luar sempadan negara itu.

Menurut PBB 22 juta penduduk di Afghanistan dan 5.7 juta lagi rakyatnya di lima negara jiran memerlukan bantuan penting pada tahun ini.

"Bencana kemanusiaan yang lebih besar akan tiba. Mesej saya ini terdesak - jangan tutup pintu kepada rakyat Afghanistan," kata ketua bantuan PBB, Martin Griffiths.

"Bantu kami meningkatkan bantuan dan mengelak kelaparan yang meluas, penyakit, kekurangan zat makanan dan akhirnya kematian".

Sejak Taliban menguasai Afghanistan pada pertengahan Ogos tahun lalu, negara itu terjerumus ke dalam keadaan kewangan yang tidak menentu, dengan inflasi dan pengangguran yang melonjak.

Washington membekukan berbilion dolar aset negara itu, manakala banyak bekalan bantuan terganggu.

Afghanistan juga mengalami kemarau paling teruk dalam tempoh beberapa dekad pada tahun lalu.

Tanpa pakej bantuan itu, "tidak akan ada masa depan", kata Griffiths kepada wartawan di Geneva.

Pemerintah Taliban menyambut baik rayuan derma oleh PBB itu.

Menurut Taliban, derma tersebut amat diperlukan.

PBB memberi jaminan, wang berkenaan tidak akan diberikan kepada Taliban dan akan disalurkan terus kepada 160 pertubuhan bukan pemerintah dan agensi PBB.

Jika pembiayaan diperoleh, ia akan membantu agensi bantuan meningkatkan penyampaian sokongan makanan dan pertanian, perkhidmatan kesihatan, rawatan kekurangan zat makanan, tempat perlindungan kecemasan, akses kepada air dan sanitasi, perlindungan serta pendidikan, kata Griffiths lagi.

Dianggarkan 4.7 juta orang akan mengalami kekurangan zat makanan akut pada 2022, termasuk 1.1 juta kanak-kanak dengan kekurangan zat makanan akut yang teruk.

Griffiths berkata, tanpa bantuan kemanusiaan, kesusahan, kematian, kelaparan dan perpindahan secara besar-besaran akan menyusul. 

Amerika Syarikat, berkata ia "tetap komited untuk membantu rakyat Afghanistan", menjanjikan suntikan permulaan AS$308 juta (S$415 juta) untuk menyediakan bantuan menyelamatkan nyawa bagi mereka yang paling lemah di negara itu tahun ini.

Sumber : AFP/SU/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa