PBB puji keputusan Indonesia benarkan pelarian Rohingya mendarat
Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) memuji tindakan pemerintah Indonesia membenarkan 105 pelarian Rohingya mendarat dengan selamat setelah tiga minggu berada di lautan terbuka berhampiran wilayah Aceh.

Keadaan pada 31 Disember 2021 apabila sampan dengan pelarian Rohingya mendarat di Aceh. (Gambar: AZWAR IPANK/AFP)
JAKARTA: Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) memuji tindakan pemerintah Indonesia membenarkan 105 pelarian Rohingya mendarat dengan selamat setelah tiga minggu berada di lautan terbuka berhampiran wilayah Aceh.
Lapan lelaki, 50 wanita dan 47 kanak-kanak menjejakkan kaki di darat pada petang Khamis (30 Dis) setelah bot dinaiki mereka dilihat terapung-apung dalam keadaan laut yang berbahaya.
Bot berkenaan pertama kali dikesan di perairan berhampiran Bireuen, di utara Aceh pada 26 Disember.
Indonesia pada mulanya tidak membenarkan pendaratan tetapi memutuskan untuk bertindak sebaliknya pada Rabu atas alasan kemanusiaan.
“Kami bersyukur kerana Indonesia dan rakyatnya sekali lagi membuktikan naluri kemanusiaan dan menyelamatkan nyawa sentiasa menjadi keutamaan.
"Dalam isu kemanusiaan, tindakan membantu membawa ke daratan penumpang kapal-kapal yang dilanda kesusahan adalah demi mengelakkan kehilangan nyawa," kata wakil UNHCR di Indonesia, Ann Maymann dalam satu kenyataan.
Agensi itu menjelaskan bahawa Indonesia sudah beberapa kali menjadi teladan bagi rantau itu setelah menyelamatkan nyawa pelarian Rohingya di laut pada 2015, 2018, 2020 dan terbaru, seramai 81 pelarian Rohingya diselamatkan di pantai Aceh Timur pada Jun 2021.
UNHCR juga mengulangi gesaan agar negara-negara serantau menangani isu berkaitan perlindungan dan kemanusiaan terhadap pelarian serta pencari suaka di laut.
Para pelarian terus melakukan perjalanan berisiko di Teluk Benggala dan Laut Andaman yang menyaksikan keperluan mendesak bagi negara-negara di rantau ini mencari penyelesaian terhadap pergerakan maritim yang tidak teratur, tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.