PBB luluskan Deklarasi New York; tegaskan sokongan terhadap huraian 2 negara
Persidangan peringkat tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai penyelesaian aman isu Palestin berakhir pada Rabu (30 Jul) di ibu pejabatnya di New York, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres sewaktu memberi ucapan mengenai Afghanistan di Doha pada 2 Mei 2023. (Gambar: Karim Jaafar/AFP)
Persidangan yang berlangsung dari 28 hingga 30 Jul itu menghimpunkan para pegawai kanan daripada hampir 130 negara dan berakhir dengan penerimaan dua dokumen utama iaitu "New York Call" dan "Deklarasi New York" yang menyokong huraian dua negara.
Amerika Syarikat dan Israel tidak menghadiri persidangan itu yang dipengerusikan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dalam ucapan pra-pembukaan berkata bahawa huraian dua negara kini berada di "ambang kehancuran".
"Kewujudan sebuah negara bagi rakyat Palestin adalah hak, bukan satu ganjaran. Dan penafian terhadap hak ini hanya akan memberi kelebihan kepada golongan pelampau," katanya.
Encik Guterres turut mengecam keadaan yang semakin meruncing di Gaza, sambil memberi amaran bahawa wilayah itu kini sedang "terjerumus dalam malapetaka".
Sebanyak 15 negara termasuk Australia, Kanada, Perancis dan Sepanyol mengulangi sokongan mereka terhadap huraian dua negara melalui dokumen "New York Call".
Dalam kenyataan bersama, negara-negara terlibat menyuarakan kebimbangan serius terhadap korban awam di Gaza dan menggesa negara-negara lain menimbangkan pengiktirafan terhadap Palestin sebagai langkah penting ke arah keamanan.
"Kami bersetuju untuk mengambil tindakan bersama bagi menamatkan perang di Gaza serta mencapai penyelesaian yang adil, aman dan berkekalan terhadap konflik Israel-Palestin melalui pelaksanaan huraian dua negara," menurut kenyataan itu.
Deklarasi berkenaan turut memberi amaran bahawa konflik yang berterusan menyebabkan penderitaan manusia yang amat dahsyat dan mengancam kestabilan serantau dan global.
Negara-negara yang menyokong deklarasi tersebut termasuk Turki, Perancis, Arab Saudi, Brazil, Kanada, Mesir, Indonesia, Ireland, Itali, Jepun, Jordan, Mexico, Norway, Qatar, Senegal, Sepanyol, Britain, Kesatuan Eropah (EU) dan Liga Arab.
Sepanjang persidangan, Britain dan Kanada turut mengumumkan rancangan untuk mengiktiraf negara Palestin secara rasmi pada Perhimpunan Agung PBB ke-80 yang dijadual berlangsung pada September.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.