Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PBB kutuk serangan Rusia ke atas stesen kereta api Ukraine

Anggaran Waktu Membaca:
PBB kutuk serangan Rusia ke atas stesen kereta api Ukraine

(Gambar: Fadel Senna/AFP)

Diterbitkan : 09 Apr 2022 04:55PM Dikemas Kini : 09 Apr 2022 04:55PM

ANKARA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat (8 Apr) mengecam serangan maut Rusia ke atas stesen kereta api di Kramatorsk timur Ukraine.

"Serangan di stesen kereta api Kramatorsk di timur Ukraine hari ini, yang membunuh dan mencederakan ramai orang awam yang menunggu untuk dipindahkan, termasuk ramai wanita, kanak-kanak dan warga tua, selain serangan terhadap orang awam dan infrastruktur awam adalah tidak boleh diterima sama sekali," kata jurucakap kepada Ketua PBB Antonio Guterres, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

Serangan itu, katanya, adalah "pencabulan besar terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa" dan pelakunya mesti "bertanggungjawab".

"Setiausaha Agung mengingatkan semua pihak tentang kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa untuk melindungi orang awam dan keperluan mendesak untuk menyokong gencatan senjata kemanusiaan, bagi membolehkan pemindahan selamat dan akses kemanusiaan kepada penduduk yang terperangkap dalam konflik," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan itu. 

Ia mengulangi gesaan ketua PBB kepada semua pihak untuk "menamatkan segera kekejaman perang."

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) turut mengutuk serangan itu.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan hari ini di stesen kereta api di Kramatorsk, Ukraine,” kata Wakil UNICEF Ukraine, Murat Sahin.

"Kami belum mengetahu jumlah kanak-kanak yang terbunuh dan cedera dalam serangan itu, tetapi kami khuatir akibatnya lebih teruk lagi."

Encik Sahin berkata stesen kereta api itu menjadi laluan keluar utama untuk beribu-ribu keluarga yang berpindah dari wilayah Donetsk yang musnah teruk akibat perang, ke kawasan yang agak selamat di Ukraine.

"Awal hari ini, UNICEF telah menghantar kit perubatan dan bekalan kecemasan di Kramatorsk," katanya.

"Ketika serangan berlaku, Pasukan UNICEF sedang menghantar bekalan menyelamatkan nyawa ke jabatan kesihatan wilayah, satu kilometer dari stesen kereta api itu."

Sekurang-kurangnya 50 orang, termasuk lima kanak-kanak, terbunuh pada Jumaat (8 Apr) dalam serangan Rusia di stesen kereta api itu, kata pihak berkuasa.

Bagi Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy serangan itu ibarat "kejahatan tanpa had" dan berkata tentera Rusia menyerang stesen itu dengan peluru berpandu Tochka-U.

Kremlin bagaimanapun menafikan laporan Ukraine mengenai serangan udara Rusia ke atas stesen itu. Kementerian Pertahanan Rusia berkata dakwaan oleh Kyiv adalah provokasi dan "sama sekali tidak menunjukkan realiti sebenar."

Sumber : Bernama/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa