PBB khuatir Myanmar cabul hak asasi minoriti semasa sekatan Internet
Sekatan Internet di beberapa kawasan Myanmar mungkin disengajakan untuk menutup "pencabulan hak asasi manusia besar-besaran" di mana tindakan kekerasan tentera sudah memaksa beratus ribu Rohingya melarikan diri, menurut seorang penyiasat hak asasi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
YANGON: Sekatan Internet di beberapa kawasan Myanmar mungkin disengajakan untuk menutup "pencabulan hak asasi manusia besar-besaran" di mana tindakan kekerasan tentera sudah memaksa beratus ribu Rohingya melarikan diri, menurut seorang penyiasat hak asasi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pihak tentera Myanmar sedang bergelut dengan pemberontakan kumpulan Tentera Arakan (AA), yang memperjuangkan autonomi lebih luas bagi kaum Rakhine beragama Buddha.
Pada Jumaat pihak pemerintah mengambil tindakan yang tidak tidak pernah dilakukan sebelum ini dengan mengarahkan pengendali rangkaian telefon untuk menyekat semua khidmat internet di sekurang-kurangnya lapan bandar di wilayah Rakhine dan sebuah bandar di wilayah jiran, Chin.
"Saya bimbangkan orang awam di sana," kata Wakil Khas PBB bagi Myanmar Yanghee Lee sambil menggesa agar kesemua larangan ditarik balik.
Operasi pihak tentera itu "alasan untuk melakukan pencabulan hak asasi manusia besar-besaran terhadap penduduk awam," kata Cik Lee dengan merujuk kepada penganiayaan ke atas Muslim Rohingya pada 2017.
Arahan tersebut dikeluarkan di bawah Undang-Undang Telekomunikasi yang menjejas kesemua pengendali rangkaian telefon bagi tempoh yang tidak ditetapkan.
Syarikat Telenor Group menyatakan Kementerian Pengangkutan dan Perhubungan memberi sebab di sebalik langkah itu dengan menyatakan khidmat Internet digunakan untuk "menyelaraskan kegiatan haram".
Beribu-ribu askar sudah dikerahkan ke wilayah barat itu, di mana lebih 35,000 penduduk melarikan diri daripada tembakan meriam dalam keganasan yang sudah merebak ke wilayah Chin.
Kedua-dua pihak didakwa melakukan penganiayaan dan berpuluh-puluh orang awam terbunuh di tengah-tengah pertempuran antara tentera Myanmar dengan AA, meskipun ada yang berlindung di biara.
Pihak tentera mengesahkan bahawa ia menembak mati enam tahanan Rakhine pada lewat April.
Keganasan merebak hingga ke dekat ibu kota Rakhine, Sittwe, di mana kumpulan pemberontak menyerang sebuah kapal tentera laut semasa hujung minggu lalu yang meragut nyawa dua orang.
Hanya segelintir penduduk yang memiliki komputer peribadi. Lantaran itu sekatan Internet memutuskan perhubungan dengan dunia luar bagi sebahagian besar penduduk.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.