Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PBB kecam serangan terhadap Houthi di Yaman

Anggaran Waktu Membaca:
PBB kecam serangan terhadap Houthi di Yaman

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres. (Gambar: AFP)

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengecam keras serangan udara perikatan tentera diketuai Arab Saudi yang memerangi gerakan Houthi di Yaman pada Jumaat (21 Jan). 

Serangan tersebut meragut nyawa sekurang-kurangnya 60 orang di pusat tahanan yang dikendalikan pihak Houthi di wilayah Saada. 

Jurucakap Guterres, Stephane Dujarric berkata, beberapa serangan udara juga dilaporkan di kawasan lain di Yaman yang turut mengorbankan kanak-kanak.

"Serangan udara ke atas kemudahan telekomunikasi di Hodeidah menyebabkan gangguan pada perkhidmatan internet di seluruh negara.

"Setiausaha Agung menggesa siasatan terperinci dijalankan dengan segera bagi memastikan kebertanggungjawaban," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat (21 Jan). 

Pertubuhan amal Save the Children dalam kenyataannya menyatakan, tiga kanak-kanak dilaporkan maut di Hodeidah.

Perikatan tentera yang diketuai Arab Saudi memerangi gerakan Houthi yang bersekutu dengan Iran di Yaman sejak 2015.

Insiden yang  mengorbankan nyawa puluhan orang pada Jumaat (21 Jan) akan disiasat secara bebas dan diluluskan oleh pihak antarabangsa.

Serangan yang ditujukan ke arah bangunan tentera Houthi sudahpun dipertingkatkan baru-baru ini selepas gerakan itu berulang kali melancarkan serangan rentas sempadan ke atas Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada Isnin (17 Jan) selain serangan dron ke atas beberapa bandar di Arab Saudi.

Dalam satu sidang media pada Jumaat (21 Jan), Guterres berkata serangan tersebut perlu dihentikan.

Dujarric berkata, Guterres mengingatkan semua pihak yang terlibat supaya memastikan orang awam dilindungi daripada segala operasi ketenteraan yang dijalankan.

Majlis Keselamatan PBB turut mengecam keras serangan ke atas UAE dan beberapa bandar di Arab Saudi oleh kumpulan Houthi dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat (21 Jan) selepas mengadakan mesyuarat tertutup.

Konflik di Yaman sejak perikatan tentera itu campur tangan di negara tersebut pada Mac 2015 sudah mengorbankan puluhan ribu orang dan menyebabkan jutaan penduduk hilang tempat tinggal. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan