Skip to main content

Dunia

PBB hadapi "cabaran sukar" laksana tugas kemanusiaan

Sektor kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kini bergelut dengan cabaran sukar berikutan kekurangan dana, beban berlebihan dan menjadi sasaran serangan, kata Penolong Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan, Tom Fletcher pada Isnin (15 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
PBB hadapi "cabaran sukar" laksana tugas kemanusiaan

Lambang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). (Gambar fail: REUTERS)

NEW YORK: Sektor kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kini bergelut dengan cabaran sukar berikutan kekurangan dana, beban berlebihan dan menjadi sasaran serangan, kata Penolong Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan, Tom Fletcher pada Isnin (15 Sep).

“Situasi pembiayaan semakin merosot sejak lawatan saya yang lepas. Kami hanya menerima 19 peratus daripada jumlah yang diperlukan, penurunan 40 peratus berbanding tahun lepas,” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PBB di New York.

Setakat tahun ini, hanya AS$8.7 bilion (S$11.12 bilion) diterima daripada AS$45.5 bilion (S$58.14 bilion) yang diminta dalam Tinjauan Kemanusiaan Global.

Bagi menangani kekangan itu, PBB memberi keutamaan tertinggi dalam perancangan untuk menyelamatkan 114 juta nyawa dengan kos AS$29 bilion (S$37.05 bilion) – “satu peratus daripada jumlah yang dunia belanjakan untuk pertahanan tahun ini,” katanya.

“Kami terbeban,” kata Encik Fletcher sambil menjelaskan berjuta-juta orang kini terpaksa hidup tanpa makanan asas, perkhidmatan kesihatan dan perlindungan.

Program perlindungan khususnya bagi wanita dan kanak-kanak perempuan sudah dipotong, manakala ratusan organisasi bantuan terpaksa ditutup.

Menurut Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), enam juta lagi kanak-kanak berisiko tercicir daripada pendidikan, manakala Program Makanan Sedunia (WFP) hanya mampu menyalurkan bantuan makanan kepada sejuta daripada tiga juta rakyat Afghanistan yang memerlukan.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) pula memberi amaran bahawa 11 juta pelarian mungkin tidak lagi menerima bantuan.

Selain itu, pekerja kemanusiaan PBB turut menjadi sasaran, dengan lebih 380 terbunuh tahun lalu dan 270 lagi terbunuh setakat tahun ini. “Saya bimbang rekod ini akan sekali lagi dipecahkan,” kata Encik Fletcher.

Beliau menegaskan bahawa keganasan terhadap petugas kemanusiaan, khususnya di Yaman dan Carikan Gaza, “seolah-olah semakin dinormalisasi.”

Encik Fletcher berkata sektor kemanusiaan PBB sudah melaksanakan pembaharuan untuk mengurangkan birokrasi, duplikasi dan ketidakcekapan, sambil memperkukuh usaha membina semula sebuah organisasi global yang benar-benar mampu menyelamatkan nyawa, mempertingkat daya tahan, mencegah konflik dan melindungi hak asasi.

Beliau turut menekankan zon krisis utama seperti Carikan Gaza, Wilayah Palestin yang diduduki, Sudan, Syria, Haiti, Afghanistan dan Yaman, yang akan menjadi tumpuan semasa Minggu Peringkat Tinggi sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB hujung bulan ini.

Di Gaza, lebih setengah juta orang berdepan kebuluran tahap kritikal, dengan angka itu dijangka melebihi 640,000 menjelang akhir September.

Di Sudan, lebih setengah juta orang berada dalam keadaan mirip kebuluran, 30 juta memerlukan bantuan dan keganasan seksual dilaporkan berleluasa, katanya.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita