Skip to main content

Dunia

PBB gesa tingkat usaha pulihkan kepercayaan terhadap aturan berbilang pihak

Anggaran Waktu Membaca:
PBB gesa tingkat usaha pulihkan kepercayaan terhadap aturan berbilang pihak

Presiden Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Khalilur Rahman semasa berucap di Perhimpunan Agung PBB sesi ke-81, Ibu Pejabat PBB, New York, Amerika Syarikat, 8 Sept 2026. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 09 Sep 2026 10:20AM Dikemas Kini : 09 Sep 2026 12:07PM
  • Sesi ke-81 Perhimpunan Agung PBB bermula dengan Presiden Khalilur Rahman dan Setiausaha Agung Antonio Guterres menekankan pentingnya memulihkan kepercayaan terhadap sistem global.
  • Khalilur mengakui PBB telah membantu mengelakkan perang dunia ketiga, namun masih gagal memenuhi jangkaan dalam menangani konflik, pembangunan dan perubahan iklim.
  • Kedua-dua pemimpin menegaskan perlunya kerjasama, dialog dan pembaharuan untuk mengatasi defisit kepercayaan terhadap institusi antarabangsa.
  • Tema sesi "Restoring Trust, Managing Transformation" menyorot komitmen PBB untuk memperkukuh tindakan kolektif demi masa depan dunia yang lebih baik.
Dijana oleh AI
HAMILTON: Sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bermula pada Selasa (8 Sep) dengan Presidennya Khalilur Rahman menggesa supaya usaha dipertingkat bagi memulihkan kepercayaan terhadap aturan berbilang pihak, sedang Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres memberi amaran bahawa membina semula keyakinan terhadap sistem global merupakan “cabaran utama ketika ini”, lapor Anadolu Ajansi.

Encik Khalilur berkata ketahanan PBB selama lebih lapan dekad mencerminkan tujuan asas penubuhannya, sambil menambah “selama lebih lapan dekad, pertubuhan kita telah membantu dunia mengelakkan daripada terjerumus ke dalam perang dunia ketiga, yang boleh dikatakan merupakan sebab utama kewujudannya.”

Merujuk kepada usaha PBB yang sering tidak mendapat perhatian, beliau berkata setiap hari, jauh daripada tumpuan umum, PBB dan barisan karyawannya yang berdedikasi berusaha menyediakan makanan untuk berjuta-juta orang termasuk pelarian dan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di seluruh dunia, menyokong keamanan dan keselamatan, memerangi penyakit kronik serta membantu negara-negara menangani cabaran rentas sempadan yang kompleks.

Encik Khalilur turut mengakui institusi itu berulang kali gagal memenuhi jangkaan, dengan konflik berterusan, pencapaian pembangunan yang rapuh serta kesan perubahan iklim yang semakin buruk.

“Konflik terus menyebabkan penderitaan manusia, pencapaian pembangunan kekal lemah dan rapuh, manakala kesan iklim semakin meningkat,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa krisis yang berlaku serentak itu telah menghakis keyakinan terhadap tindakan bersama.

“Defisit kepercayaan yang semakin melebar sedang menguji keyakinan terhadap institusi antarabangsa dan tindakan kolektif, satu jurang yang perlu kita rapatkan dengan bekerjasama menerusi dialog, pembaharuan kerjasama dan pelaksanaan. 

“Hari ini, tanggungjawab kita bukan sekadar mempertahankan institusi ini - dan memang ada alasan kukuh untuk berbuat demikian - tetapi memperkukuhkannya, bukan sekadar menyeru kepada kepercayaan yang menjadi asas aturan berbilang pihak, tetapi membinanya setiap hari. 

“Ikrar saya bagi sesi ke-81 ini, rakan-rakan sekalian, adalah untuk bekerja tanpa mengenal penat lelah bagi menghidupkan semula kepercayaan terhadap institusi ini, yang akhirnya menjadi asas kepada kejayaan tindakan kolektif kita,” kata beliau.

Tema sesi itu, "Restoring Trust, Managing Transformation: A United Nations that Delivers for All," mencerminkan ikrar berkenaan.

Encik Guterres ketika berucap semasa Perhimpunan Agung menzahirkan sokongan terhadap kepimpinan Encik Khalilur dan berikrar akan memberikan sokongan penuh.

Menyambut baik tema sesi itu, Encik Guterres berkata usaha membina semula keyakinan terhadap sistem berbilang hala merupakan “cabaran utama zaman kita”, sambil merujuk konflik, risiko peningkatan ketegangan nuklear, kemiskinan yang semakin parah, gangguan iklim serta kecerdasan buatan (AI) yang tidak dikawal sebagai tekanan yang membebani institusi global, daripada Majlis Keselamatan hingga ke sistem kewangan antarabangsa.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan menyeru supaya diadakan kerjasama, sambil berkata menerusi diplomasi, dialog dan kerjasama, Perhimpunan Agung mampu membina semula kepercayaan dan niat baik yang kini semakin terhakis dalam geopolitik, sekali gus memastikan penduduk dunia mewarisi masa depan yang lebih baik, sihat dan aman.
Sumber : Bernama/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita