Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PBB gesa tentera asing, askar upahan undur dari Libya

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat (12 Mac) menggesa negara-negara dengan tentera dan askar upahan di Libya untuk mengundurkan diri "tanpa berlengah" seperti yang dituntut dalam perjanjian gencatan senjata antara pihak-pihak yang berperang di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
PBB gesa tentera asing, askar upahan undur dari Libya

(Gambar fail: AFP/Mahmud Turkia)

Diterbitkan : 13 Mar 2021 03:53PM Dikemas Kini : 13 Mar 2021 03:57PM

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat (12 Mac) menggesa negara-negara dengan tentera dan askar upahan di Libya untuk mengundurkan diri "tanpa berlengah" seperti yang dituntut dalam perjanjian gencatan senjata antara pihak-pihak yang berperang di negara itu.

Kenyataan presiden yang diluluskan oleh kesemua 15 anggota majlis tersebut menyambut baik satu langkah penting menyusuli gencatan senjata Oktober - undian pada Rabu oleh Dewan Perwakilan negara itu menyokong pemerintah sementara yang baru dilantik yang diberi tanggungjawab memimpin negara itu menjelang pilihan raya pada 24 Disember.

Badan paling berkuasa PBB itu menyeru semua pihak Libya untuk memastikan penyerahan kuasa yang lancar kepada pemerintahan sementara Perdana Menteri Abdul Hamid Dbeibah.

Libya yang kaya minyak terjerumus ke dalam kekacauan setelah pemberontakan yang disokong oleh NATO pada 2011 menggulingkan diktator Muammar Gaddafi dan memecahbelahkan negara itu. Libya terbahagi antara pemerintah yang disokong PBB di Tripoli dengan kuasa saingan yang berpusat di timur negara itu, masing-masing disokong oleh sekumpulan kumpulan bersenjata tempatan serta kuasa serantau dan asing.

Pada April 2019, Khalifa Haftar dan pasukannya, yang disokong oleh Mesir dan Amiriah Arab Bersatu, melancarkan serangan untuk cuba menakluk Tripoli.

Kempennya runtuh setelah Turki meningkatkan sokongan ketenteraannya kepada pemerintah yang disokong PBB dengan ratusan tentera dan ribuan askar upahan Syria.

Perjanjian gencatan senjata Oktober menuntut pengunduran semua pasukan bersenjata asing dan tentera upahan dalam tempoh tiga bulan dan pematuhan sekatan senjata PBB, satu syarat yang belum dipenuhi.

Kenyataan presiden itu juga menyeru "dipatuhi sepenuhnya sekatan senjata", yang sudah berulang kali dilanggar, menurut pakar-pakar.

Pasukan awal PBB sedang berada di Libya sebagai langkah pertama untuk mengerahkan merinyu antarabangsa di bawah naungan PBB untuk memastikan gencatan senjata. Ia dijangka pulang minggu depan.

Kenyataan presiden adalah satu langkah di bawah ketetapan Majlis Keselamatan dan menjadi sebahagian daripada rekod rasminya.

Sumber : AP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan