PBB gesa negara G20 sumbang dana tangani krisis COVID-19
Negara anggota Kumpulan 20 (G20) digesa menampung kekurangan dana sebanyak AS$28 bilion yang diperlukan bagi membiayai Akses Alat Pemacu COVID-19 (ACT-Accelerator) dan kemudahan vaksin COVID-19 global (COVAX).
NEW YORK: Negara anggota Kumpulan 20 (G20) digesa menampung kekurangan dana sebanyak AS$28 bilion yang diperlukan bagi membiayai Akses Alat Pemacu COVID-19 (ACT-Accelerator) dan kemudahan vaksin COVID-19 global (COVAX).
Gesaan itu disuarakan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Selasa (17 Nov) dan disampaikan menerusi surat kepada pemimpin G20 menjelang pertemuan mereka pada 21 November ini.
Encik Guterres berkata, bagi menghadapi pandemik yang belum pernah terjadi sebelum ini, dunia memerlukan kepemimpinan yang lebih bersatu untuk memulih dan menangani dengan lebih baik.
"ACT-Accelerator atau Kerjasama Global untuk Mempercepat Pembangunan, Pengeluaran dan Akses Setara kepada diagnostik COVID-19 baharu, terapi serta vaksin adalah inisiatif G20 yang diumumkan Pengerusi penajanya, Mohammed al-Jadaan pada 24 April lalu.
"Penemuan awal mengenai ujian keberkesanan vaksin COVID-19 membawa kepada keperluan mendesak baharu mengenai perlunya akses yang adil terhadap vaksin, diagnostik dan terapi.
"Ia turut menunjukkan kepentingan untuk melabur dalam sistem kesihatan yang dapat diakses oleh semua orang, termasuk melalui Perlindungan Kesihatan Sejagat," katanya.
Mengenai kemiskinan tegar, Encik Guterres berkata, seramai 115 juta orang lagi berisiko jatuh ke lembah kemiskinan yang ekstrim manakala kebuluran meningkat hampir dua kali ganda sehingga mempengaruhi kehidupan lebih suku daripada satu bilion penduduk.
"Saya meminta G20 untuk menyokong pelaksanaan dasar perlindungan sosial bagi semua orang tanpa mengira usia, jantina, agama, keturunan, status migrasi atau latar belakang seksual termasuk mereka yang berada dalam ekonomi tidak formal serta ekonomi gelap," katanya.
Encik Guterres berkata, COVID-19 mendedahkan kelemahan sistemik dalam masyarakat, sistem ekonomi global dan kerangka kerja yang mentadbir sistem antarabangsa.
Katanya, tindak balas awal G20 sangat penting dalam meredakan keruntuhan sosial dan ekonomi akibat penularan COVID-19, namun memerlukan komitmen dan langkah lebih berani untuk membantu negara membangun menangani krisis itu secara berkesan serta mencegah kemelesetan global bertukar kepada kemurungan global.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.