Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PBB gesa ASEAN 'teruskan' agenda hurai konflik Myanmar

Anggaran Waktu Membaca:
PBB gesa ASEAN 'teruskan' agenda hurai konflik Myanmar

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berucap di sidang media semasa sidang puncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di Phnom Penh pada 12 November 2022. (Gambar: AFP/Tang Chhin Sothy)

Diterbitkan : 12 Nov 2022 05:58PM Dikemas Kini : 12 Nov 2022 05:59PM
PHNOM PENH: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengalu-alukan "pendekatan berprinsip" Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) terhadap konflik di Myanmar dan yakin bahawa pengerusi ASEAN bagi tahun depan, Indonesia, berupaya memajukan agenda tersebut.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata demikian di Phnom Penh semasa Sidang Puncak PBB-ASEAN, yang diadakan pada Jumaat (11 Nov) dan berucap sekali lagi semasa sidang media pada pagi Sabtu (12 Nov).

Beliau meyifatkan situasi di Myanmar sebagai "mimpi ngeri" yang berterusan bagi para penduduk negara tersebut dan menyuarakan sokongannya terhadap kenyataan 15 perkara yang dibuat oleh pemimpin ASEAN berhubung krisis di Myanmar.

Mesyuarat para pemimpin ASEAN semasa sidang puncak tersebut juga menggesa lebih banyak langkah kukuh diambil, di samping merangka "garis masa yang khusus" untuk menyokong Konsensus Lima Perkara yang mengusulkan penyelesaian secara damai bagi kemelut yang kian meruncing di Myanmar.

Selain itu, ASEAN juga akan menyemak semula perwakilan Myanmar bagi mesyuarat-mesyuarat selanjutnya. Ini memandangkan para pemimpin politik negara tersebut dilarang daripada menyertai mesyuarat peringkat tinggi perkumpulan serantau itu sejak lewat tahun lalu.
 
Meskipun para pemimpin ASEAN, termasuk Jeneral Kanan Min Aung Hlaing bersetuju dengan Konsensus Lima Perkara pada April 2021, junta Myanmar sebahagian besarnya tidak mengendahkan persetujuan tersebut.

Pelan damai tersebut menggesa keganasan dihentikan dengan segera dan semoga dialog dapat diadakan antara pihak-pihak berkepentingan dalam konflik tersebut.

Sementara itu, Utusan Khas ASEAN juga sudah dilantik bagi mengendalikan pengantaraan, sekali gus membolehkan ASEAN untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada para penduduk di Myanmar.

Sekalipun demikian, keganasan di Myanmar masih berleluasa meskipun selepas perjanjian itu dimeterai.

Para pemimpin ASEAN akur dalam kenyataan pada Jumaat (11 Nov) bahawa hanya "sedikit kemajuan" yang diraih sejauh ini.

Apabila ditanya oleh wartawan Mediacorp tentang bagaimana 15 perkara ASEAN akan membawa perubahan di Myanmar, Encik Guterres berkata: "Saya percaya pemerintah Indonesia akan dapat memajukan agenda tersebut dengan cara yang positif."

Beliau turut menambah: "Semua orang gagal berhubung Myanmar. Seluruh masyarakat antarabangsa gagal, dan PBB adalah sebahagian daripada masyarakat antarabangsa itu."

Beliau juga menggesa pihak berkuasa Myanmar supaya membebaskan kesemua tahanan politik. Beliau turut bertegas negara-negara ASEAN perlu menyediakan perlindungan dan menghulurkan bantuan kepada para pelarian dari Myanmar.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan