PBB: Dunia mesti hadapi 'realiti sebenar'; sasaran Perjanjian Paris semakin sukar dicapai
Logo Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada sebuah tingkap di ibu pejabatnya di New York, Amerika Syarikat, pada 18 Sep 2025. (Gambar fail: Reuters/Jeenah Moon)
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada tahun lalu mengakui bahawa kenaikan suhu melebihi 1.5°C tidak dapat dielakkan. Namun, ini kali pertama sebuah agensi PBB menangani isu tersebut secara langsung menerusi satu laporan khas.
Para saintis bersetuju bahawa pemanasan bumi melebihi 1.5°C berbanding paras sebelum era perindustrian membawa risiko yang serius. Hampir 200 negara pada 2015 komited untuk mengehadkan kenaikan suhu global ke paras tersebut.
Dunia bagaimanapun dijangka melepasi paras 1.5°C dalam masa beberapa tahun akan datang, sekali gus mengalihkan tumpuan kepada usaha memastikan tempoh kenaikan melangkaui paras itu sesingkat mungkin dan pada tahap yang terkawal.
Dalam laporannya, Program Alam Sekitar PBB (UNEP) menyatakan dengan jelas bahawa paras 1.5°C akan diatasi dan "cabaran kini beralih daripada mengelakkan kenaikan itu kepada menghadapinya".
Penulis bersama laporan itu, Profesor Richard Betts dari Universiti Exeter, menyifatkannya sebagai satu "peringatan tentang realiti sebenar".
"Kita perlu hidup dalam dunia yang lebih panas ini ... tetapi masih banyak yang boleh kita lakukan untuk mengehadkan pemanasan bumi," katanya.
AKTIVIS IKLIM LUAH KEBIMBANGAN
Bahasa tegas yang digunakan dalam laporan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan aktivis iklim yang selama ini mempertahankan sasaran 1.5°C seperti yang ditetapkan dalam Perjanjian Paris.
Timbalan Pengarah Program Greenpeace International Jasper Inventor menyifatkannya sebagai "detik yang menyayat hati", namun menegaskan bahawa kenaikan melebihi paras itu bukan alasan untuk berputus asa terhadap sasaran 1.5°C.
Negara-negara kepulauan kecil yang berdepan ancaman kenaikan paras air laut juga lantang mempertahankan sasaran tersebut dan menggesa negara-negara lebih kaya supaya jangan mengabaikannya.
Dunia kini sudah mengalami pemanasan bumi sekitar 1.4°C berbanding tempoh 1850 hingga 1900, sebahagian besarnya disebabkan oleh pembakaran bahan api fosil. Tiga tahun lalu juga merupakan yang paling panas pernah direkodkan.
SASARAN 1.5°C MASIH KEKAL
Para saintis memberi amaran bahawa sebarang kenaikan melepasi 1.5°C boleh menyebabkan cuaca lebih ekstrem serta membawa bumi semakin hampir kepada titik genting, termasuk keruntuhan lapisan ais dan kemusnahan terumbu karang.
Pengarah Eksekutif UNEP Inger Andersen menegaskan bahawa "tiada hasil yang baik jika kita terus melebihi 1.5°C".
"Perlu dijelaskan bahawa sasaran 1.5°C masih menjadi matlamat. Tetapi kini, kita perlu mendekatinya dengan cara berbeza," katanya.
Encik Guterres pula berkata suhu global masih boleh diturunkan semula ke bawah 1.5°C menjelang akhir abad ini.
Untuk mencapainya, penghapusan karbon dioksida daripada atmosfera dan penyimpanannya perlu dilaksanakan seiring dengan pengurangan pelepasan gas rumah hijau secara besar-besaran dan pantas, menurut UNEP.
Namun, teknologi bagi menghapuskan karbon kini hanya memainkan peranan yang amat kecil dalam menangani perubahan iklim dan ditentang sebahagian aktivis yang menggesa peralihan lebih pantas daripada arang batu, minyak dan gas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.