PBB buat pertama kali isytihar perang Israel di Gaza sebagai genosid
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) buat pertama kalinya mengisytiharkan perang Israel di Gaza sebagai genosid - sekali gus menandakan perkembangan bersejarah dalam konflik Palestin-Israel.
Penduduk Palestin memeriksa runtuhan Menara Al-Ghafari selepas ia musnah akibat serangan udara Israel di Gaza City pada 15 September 2025. (Gambar fail: AFP/Omar Al-Qattaa)
Menurut laporan terkini yang dikeluarkan suruhanjaya siasatan, ada alasan munasabah untuk menyatakan, Israel melakukan empat daripada lima tindakan genosid yang digariskan di bawah undang-undang antarabangsa, sejak konflik itu tercetus pada Oktober 2023.
Suruhanjaya bebas itu yang ditubuhkan Majlis Hak Asasi Kemanusiaan PBB menyatakan Israel membunuh anggota sesebuah kumpulan, menyebabkan kecederaan fizikal dan mental yang serius serta mengambil tindakan dengan sengaja memusnahkan kumpulan itu.
Ini di samping menghalang kelahiran.
Laporan itu turut menekankan, beberapa pemimpin Israel bertanggungjawab ke atas tindakan genosid di Gaza, manakala pihak berkuasa gagal mengambil tindakan terhadap mereka.
"Genosid sedang berlaku di Gaza. Kami belum menyentuh Palestin lagi. Kami akan (melakukan siasatan) kerana ini adalah suruhanjaya tetap. Dan kami kenal pasti tiga individu yang kami rasa bertanggungjawab.
"Seorang ialah Perdana Menteri (Benjamin Netanyahu), seorang lagi Presiden (Isaac Herzog) dan yang ketiga ialah mantan menteri pertahanan (Yoav Gallant).
"Dan kami simpulkan bahawa memandangkan mereka bertindak sebagai ejen negara, maka negara Israel bertanggungjawab," kata Pengerusi, Suruhanjaya Siasatan PBB Wilayah Palestin, Navi Pillay.
Pasukan penyiasat PBB itu turut menggesa kesemua negara anggota PBB supaya menghentikan kiriman senjata dan peralatan yang digunakan untuk perang di Gaza, seperti bahan api jet.
Dalam reaksinya, Israel menyifatkan hasil dapatan PBB itu sebagai "palsu".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.