Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PBB beri amaran krisis kemanusiaan di Gaza, Macron dan Mahmud Abbas gesa gencatan senjata segera

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran pada Isnin (14 Apr) bahawa Gaza sedang menghadapi krisis kemanusiaan yang paling teruk sejak perang bermula, tanpa bantuan memasuki wilayah itu selama berminggu-minggu dan keadaan semakin meruncing selepas kegagalan gencatan senjata.

Anggaran Waktu Membaca:
PBB beri amaran krisis kemanusiaan di Gaza, Macron dan Mahmud Abbas gesa gencatan senjata segera

Para penduduk Palestin meninjau-ninjau kemusnahan selepas dua peluru berpandu Israel membedil sebuah bangunan di Hospital Baptist Al-Ahli Arab di Bandar Gaza pada 13 April 2025. (Gambar: REUTERS/Dawoud Abu Alkas)

Diterbitkan : 15 Apr 2025 09:33AM Dikemas Kini : 15 Apr 2025 09:36AM
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran pada Isnin (14 Apr) bahawa Gaza sedang menghadapi krisis kemanusiaan yang paling teruk sejak perang bermula, tanpa bantuan memasuki wilayah itu selama berminggu-minggu dan keadaan semakin meruncing selepas kegagalan gencatan senjata.

PBB mengeluarkan amaran itu selepas Presiden Palestin Mahmud Abbas dan Presiden Perancis Emmanuel Macron menggesa gencatan senjata Gaza dipersetujui dengan segera.

Israel meneruskan serangan tentera ke atas wilayah Palestin itu selepas perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 19 Jan gagal dua bulan kemudian berhubung perbezaan mengenai fasa seterusnya.

Beratus-ratus ribu orang kehilangan tempat tinggal, dengan Israel menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan sejak 2 Mac, sebelum gencatan senjata menemui jalan buntu.

Bekalan perubatan, bahan api, air dan keperluan lain turut mengalami kekurangan bekalan, kata PBB.

“Situasi kemanusiaan kini berkemungkinan paling teruk dalam tempoh 18 bulan sejak tercetusnya perang,” kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA).

Dalam kenyataannya, OCHA menyatakan tiada bekalan bantuan sampai ke Gaza selama sebulan setengah.

"Disebabkan penutupan lintasan yang diburukkan lagi dengan sekatan di Gaza, bekalan yang semakin berkurangan telah memaksa mereka (pekerja bantuan) untuk mencatu dan mengurangkan penghantaran demi memanfaatkan stok yang tinggal sepenuhnya," kata OCHA.

Di Hospital Nasser di bandar selatan Khan Younis, Dr Ahmed al-Farah berkata pasukan perubatan bekerja tanpa henti.

"Kami kekurangan ubat-ubatan, kami kekurangan bekalan peralatan perubatan, kami kekurangan segala-galanya di hospital," katanya lagi.
Pasukan penyelamat cuba mengeluarkan mangsa dari runtuhan susulan serangan tentera Israel di Jabalia, utara Carikan Gaza pada 13 April 2025. (Gambar fail: REUTERS/Mahmoud Issa)
KEPERLUAN MENDESAK

Dalam panggilan telefon, Encik Macron dan Encik Abbas "menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata, mempercepatkan penghantaran bantuan kemanusiaan (dan) menolak pemindahan paksa penduduk Palestin dari tanah air mereka", lapor agensi berita Palestin, Wafa.

Selepas perbualan mereka, Encik Macron berkata pada X bahawa "Perancis menyokong sepenuhnya pembebasan semua tebusan, kembali kepada gencatan senjata yang dapat bertahan lama dan akses segera untuk bantuan kemanusiaan ke Gaza".

Beliau juga menyokong "pembaharuan" Penguasa Palestin sebagai sebahagian daripada rancangan yang akan melihat badan yang berpangkalan di Ramallah itu, yang kini mempunyai separa kawalan pentadbiran di Tebing Barat yang diduduki, mentadbir Gaza selepas perang kelak.

Pegawai kanan Hamas Taher al-Nunu menyatakan bahawa kumpulan itu bersedia membebaskan semua tebusan sebagai "pertukaran tahanan yang serius" dan jaminan bahawa Israel akan menamatkan perang.

"Isunya bukan jumlah tawanan," kata Nunu, "tetapi Israel mengingkari komitmennya, menyekat pelaksanaan perjanjian gencatan senjata dan meneruskan perang".

Bercakap selepas kumpulan itu mengadakan perbincangan dengan pengantara Mesir dan Qatar di Kaherah, beliau berkata Hamas tidak akan melucutkan senjatanya.

Laman web berita Israel, Ynet melaporkan pada Isnin (14 Apr) bahawa di bawah saranan gencatan senjata baharu yang dikemukakan kepada Hamas, kumpulan itu akan membebaskan 10 tebusan yang masih hidup sebagai pertukaran untuk jaminan Amerika bahawa Israel akan memasuki rundingan fasa kedua gencatan senjata.

Al-Qahera News yang ada kaitan dengan pemerintah Mesir, memetik sumber yang tidak dinamakan, menyatakan bahawa Kaherah telah menerima dan menyampaikan kepada Hamas saranan Israel untuk gencatan senjata sementara, "dan sedang menunggu jawapannya secepat mungkin". Ia tidak menawarkan butiran mengenai kandungan saranan itu.

PERANCIS BERHARAP PIHAK LAIN AKAN SOKONG

Fasa gencatan senjata pertama, yang bermula pada 19 Jan, termasuk beberapa pertukaran tebusan-banduan sebelum ia menemui jalan buntu.

Israel telah berusaha untuk melanjutkan fasa pertama, manakala Hamas menegaskan bahawa rundingan diadakan untuk fasa kedua di bawah perjanjian itu, seperti yang digariskan oleh mantan Presiden Amerika Joe Biden.

Encik Macron mengumumkan minggu lalu bahawa Paris mungkin akan mengiktiraf negara Palestin dalam masa beberapa bulan akan datang, dengan pengumuman itu mengundang kritikan Israel.

Pada Isnin (14 Apr), Encik Macron berkata beliau berharap pengiktirafan Perancis akan menggalakkan negara-negara lain untuk mengikutinya dan negara yang tidak mengiktiraf Israel harus berbuat demikian.

"Apa yang kami mahu cetuskan ialah satu siri pengiktirafan," kata Encik Macron.

Hampir 150 negara mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara bebas, tetapi Perancis akan menjadi kuasa Eropah yang paling penting untuk berbuat demikian.

"Presiden Macron tersilap besar dalam usaha meneruskan mempromosikan idea negara Palestin di tengah-tengah tanah kami - sebuah negara yang aspirasi tunggalnya ialah memusnahkan Israel," kata Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan.

Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani dan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi bertemu pada Isnin di Doha, di mana mereka menyokong usaha mewujudkan negara Palestin.

Kedua-dua pemimpin "menekankan kepentingan perjuangan Palestin sebagai isu Arab yang paling utama".
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan