PBB beri amaran krisis kelaparan berleluasa di Myanmar; perlu bantuan dana segera
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat (6 Ogos) menyatakan ia memerlukan dana segera untuk memberi makanan kepada rakyat Myanmar kerana dikhuatiri 6.2 juta penduduknya mungkin berdepan krisis kelaparan menjelang Oktober ini.
Para penduduk di luar bandar Yangon, Myanmar, beratur untuk menerima beg beras yang diagihkan oleh WFP. (Gambar: AFP)
GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat (6 Ogos) menyatakan ia memerlukan dana segera untuk memberi makanan kepada rakyat Myanmar kerana dikhuatiri 6.2 juta penduduknya mungkin berdepan krisis kelaparan menjelang Oktober ini.
Program Makanan Sedunia (WFP) PBB menyatakan ia kekurangan 70 peratus daripada AS$86 juta (S$116.5 juta) yang diperlukan dalam tempoh enam bulan akan datang sedang negara itu bergelut dengan pelbagai krisis.
Gelombang besar jangkitan COVID-19 melanda Myanmar, mengakibatkan jumlah meningkat orang kelaparan, kenaikan pada harga makanan dan bahan bakar, rusuhan politik serta keganasan dan perpindahan, menurut WFP.
"Kami menyaksikan jumlah mereka yang kelaparan semakin ramai dan membimbangkan di Myanmar," menurut pengarah negara WFP Myanmar, Stephen Anderson.
"Hampir 90 peratus keluarga yang tinggal di kawasan setinggan di sekitar Yangon berkata mereka terpaksa berhutang untuk membeli makanan; pendapatan terjejas teruk bagi kebanyakan mereka," ujarnya.
Myanmar berada dalam keadaan kacau-bilau dan kelumpuhan ekonomi sejak tentera merampas kuasa daripada pemimpin rakyat, Aung San Suu Kyi, pada 1 Februari lalu.
Negara itu berdepan dengan bantahan besar-besaran selain tindakan ganas oleh tentera sejak rampasan kuasa itu.
WFP sudahpun melancarkan bantuan makanan bandar pada Mei lalu dengan menyasarkan dua juta orang di Yangon dan Mandalay iaitu dua bandar terbesar negara tersebut.
Sehingga kini, 1.25 juta orang di Myanmar sudahpun menerima makanan, wang tunai dan bantuan nutrisi oleh WFP.
Bercakap kepada wartawan di Geneva menerusi pautan video dari ibu negara Naypyidaw, Encik Anderson berkata gelombang ketiga COVID-19 melanda negera itu "seperti tsunami" dan meninggalkan "kesan besar" terhadap kehidupan rakyat.
"Penduduk Myanmar berdepan saat yang paling sukar dalam kehidupan mereka. Adalah penting untuk kita membantu mereka yang memerlukan dan mendapatkan dana itu untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada mereka," ungkapnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.