PBB beri amaran angka korban gempa Myanmar semakin meningkat kepada 3,000

Sebuah bangunan yang musnah di Mandalay pada 1 April 2025, beberapa hari selepas gempa bumi dahsyat di Myanmar. (Gambar: AFP/Sai Aung Main)
Pemerintah tentera Myanmar pimpinan Min Aung Hlaing berkata jumlah kematian akibat gempa bumi 7.7 pada skala Richter pada Jumaat lalu dijangka melepasi 3,000, mencecah 2,719 setakat pagi Selasa (1 Apr), dengan 4,521 orang cedera, dan 441 masih dilaporkan hilang.
"Antara yang hilang, kebanyakannya diandaikan sudah mati. Terdapat peluang yang sangat kecil untuk mereka terus hidup," katanya dalam satu ucapan.
Gempa itu, yang melanda pada waktu makan tengah hari pada Jumaat lalu, adalah yang paling dahsyat pernah melanda negara Asia Tenggara itu dalam lebih 100 tahun, merobohkan pagoda purba dan bangunan moden.
Ia menyebabkan kerosakan yang ketara ke atas bandar kedua terbesar Myanmar, Mandalay dan Naypyitaw, ibu negara junta sebelum ini yang dibina khas untuk menjadi kubu yang tidak dapat ditembusi.
Gempa bumi itu adalah yang terbaharu dalam siri tamparan hebat terhadap Myanmar dengan 53 juta penduduk berikutan rampasan kuasa pada 2021 yang mengembalikan kuasa tentera dan memusnahkan ekonomi negara tersebut.
Tentera Myanmar dituduh melakukan kekejaman yang meluas terhadap orang awam dalam percubaannya untuk mengekalkan kuasa dan menghapuskan pemberontakan pelbagai serampang yang berlaku selepas rampasan kuasa, dan perang saudara menyebabkan lebih 3 juta orang kehilangan tempat tinggal jauh sebelum gempa berlaku.
Tentera Myanmar bagaimanapun menolak tuduhan itu sebagai maklumat salah dan sebaliknya menegaskan bahawa ia melindungi negara daripada pengganas.
Dalam perkembangan berasingan, angka korban meningkat kepada 21 orang di negara jiran Thailand pada Selasa (1 Apr), di mana gempa itu menyebabkan kerosakan pada beratus-ratus bangunan.
Pasukan-pasukan penyelamat berusaha mencari nyawa di dalam runtuhan bangunan pencakar langit yang runtuh di ibu kota Bangkok, tetapi mengakui mereka semakin dihimpit masa untuk menyelamatkan mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.