Skip to main content

Dunia

PBB benarkan Presiden Palestin Abbas berucap melalui video selepas visa ditolak Amerika

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat (19 Sep) mengundi untuk membenarkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, berucap kepada para pemimpin dunia melalui video pada minggu depan, selepas Amerika Syarikat enggan memberinya visa untuk ke New York.

Anggaran Waktu Membaca:
PBB benarkan Presiden Palestin Abbas berucap melalui video selepas visa ditolak Amerika

Presiden Palestin Mahmoud Abbas. (Gambar fail: REUTERS/Jonathan Brady/Pool)

Diterbitkan : 20 Sep 2025 07:19AM
  • Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat (19 Sep) mengundi untuk membenarkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, berucap kepada para pemimpin dunia melalui video pada minggu depan, selepas Amerika Syarikat enggan memberinya visa untuk ke New York.
  • Ketetapan itu diluluskan dengan 145 undi sokongan, lima tentangan dan enam undi berkecuali.
  • Washington bulan lalu menyatakan bahawa Mahmoud Abbas dan sekitar 80 warga Palestin lain akan terjejas berikutan keputusannya untuk menolak atau menarik balik visa bagi anggota Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Pihak Berkuasa Palestin.
  • Encik Abbas juga akan dibenarkan tampil melalui video pada sidang puncak pada Isnin, yang dianjurkan oleh Perancis dan Arab Saudi, bagi membina sokongan untuk penyelesaian dua negara.
Dijana oleh AI
NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat (19 Sep) mengundi untuk membenarkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, berucap kepada para pemimpin dunia melalui video pada minggu depan, selepas Amerika Syarikat enggan memberinya visa untuk ke New York.

Ketetapan itu diluluskan dengan 145 undi sokongan, lima tentangan dan enam undi berkecuali. Ketetapan berkenaan turut membenarkan Encik Abbas dan pegawai kanan Palestin lain untuk menyertai mesyuarat PBB melalui video sepanjang tahun depan sekiranya mereka dihalang daripada memasuki Amerika Syarikat.

Washington bulan lalu menyatakan bahawa Encik Abbas dan sekitar 80 warga Palestin lain akan terjejas berikutan keputusannya untuk menolak atau menarik balik visa bagi anggota Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Pihak Berkuasa Palestin.

“Penentangan Amerika Syarikat terhadap resolusi ini tidak mengejutkan,” kata diplomat Amerika Syarikat, Jonathan Shrier, kepada perhimpunan sebelum undian dijalankan. “Pentadbiran Trump telah menjelaskan: kita mesti memegang PLO dan Pihak Berkuasa Palestin bertanggungjawab kerana tidak mematuhi komitmen mereka di bawah Perjanjian Oslo dan kerana menjejaskan prospek perdamaian.”

SIDANG PUNCAK DUA NEGARA

Encik Abbas juga akan dibenarkan tampil melalui video pada sidang puncak pada Isnin, yang dianjurkan oleh Perancis dan Arab Saudi, bagi membina sokongan untuk penyelesaian dua negara. Beberapa negara dijangka mengiktiraf negara Palestin secara rasmi pada mesyuarat itu.

Perhimpunan Agung yang dianggotai 193 negara itu pada Jumaat turut bersetuju secara konsensus untuk membenarkan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, menyertai sidang berkenaan melalui video.

PERATURAN VISA AMERIKA SYARIKAT

Di bawah “perjanjian ibu pejabat” 1947, Amerika Syarikat secara umumnya perlu membenarkan diplomat asing untuk memasuki negara itu bagi menghadiri mesyuarat PBB di New York. Namun Washington menyatakan bahawa ia boleh menolak visa atas sebab-sebab keselamatan, ekstremisme atau dasar luar.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita