Skip to main content

Dunia

PBB amat bimbang dengan laporan serangan udara tentera Myanmar ragut 50 nyawa

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa (29 Sep) melahirkan kebimbangan serius berhubung laporan mengenai serangan udara tentera Myanmar berhampiran sempadannya dengan Bangladesh.

Anggaran Waktu Membaca:
PBB amat bimbang dengan laporan serangan udara tentera Myanmar ragut 50 nyawa

Asap kelihatan menjulang menyusuli serangan udara tentera Myanmar di Kyauktaw, Wilayah Rakhine, Myanmar, menurut kumpulan pemberontak yang menguasai kawasan tersebut dan seorang pekerja bantuan tempatan. Gambar diambil daripada video media sosial yang dikeluarkan pada 28 September 2026. (Gambar: Media Sosial menerusi REUTERS)

Diterbitkan : 30 Sep 2026 08:43AM
UN deeply concerned by reports that Myanmar army air strike killed 50 people
  • On Sep 29, the UN condemned a Myanmar army air strike in Kyauktaw, Rakhine, near Bangladesh, which was reported to have killed 50 people and injured at least 58 others.
  • Stephane Dujarric said Antonio Guterres demanded that all parties stop the violence, protect civilians and comply with international law.
  • The Arakan Army and aid worker Wai Hun Aung confirmed the casualty figures, with women and children among the victims found on Tuesday.
  • The UN said the continuing violence showed that Rakhine is still not safe for the return of refugees, as the civil war since 2021 has already killed about 100,000 people.
Dijana oleh AI
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa (29 Sep) melahirkan kebimbangan serius berhubung laporan mengenai serangan udara tentera Myanmar berhampiran sempadannya dengan Bangladesh.

Serangan tersebut dilaporkan membunuh 50 orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain, termasuk ramai yang berada dalam keadaan tenat.

Seorang jurucakap PBB berkata keganasan berterusan di wilayah Rakhine, Myanmar, menunjukkan keadaan ketika ini masih belum sesuai bagi pelarian dan penduduk lain yang kehilangan tempat tinggal untuk pulang dengan selamat ke Myanmar.

"Serangan udara terbaharu ini menunjukkan dengan jelas hakikat tersebut," kata jurucakap PBB Stephane Dujarric dalam satu taklimat PBB di New York.

"Setiausaha Agung mengecam sekeras-kerasnya serangan tersebut dan menggesa semua pihak supaya segera menghentikan keganasan, melindungi orang awam dan mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa," kata beliau, merujuk kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

Serangan udara pada Isnin di bandar Kyauktaw, yang terletak di sempadan dengan Bangladesh, membunuh 50 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 58 yang lain, menurut Tentera Arakan, yang sedang bertempur dengan tentera Myanmar. Angka tersebut disahkan pekerja bantuan tempatan Wai Hun Aung.

Wanita dan kanak-kanak merupakan antara mangsa yang jasadnya ditemui pada Selasa, menurut gambar-gambar yang dikongsi Wai Hun Aung di media sosial.

Serangan udara di Kyauktaw merupakan serangan paling berdarah seumpamanya di Rakhine sejak sebuah hospital dibom pada Disember 2025, yang membunuh sekurang-kurangnya 30 orang.

Jurucakap Tentera Arakan Khine Thu Kha berkata pihak tentera "sengaja menyasarkan pasar yang sesak, sekolah, orang awam dan bangunan kediaman menerusi serangan udara".

Seorang jurucakap pemerintah Myanmar tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan komen. Pihak tentera sebelum ini menyatakan ia mengambil langkah berjaga-jaga sebaik mungkin bagi mengelakkan bahaya terhadap orang awam.

Myanmar dilanda perang saudara di seluruh negara sejak rampasan kuasa pada 2021, dengan gabungan kumpulan bersenjata, termasuk Tentera Arakan, bertempur menentang pihak tentera.

Konflik tersebut sejak itu mengorbankan kira-kira 100,000 orang dan menyebabkan lebih 3.5 juta penduduk kehilangan tempat tinggal di negara Asia Tenggara yang dilanda kemiskinan itu.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita