Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AS patut tunda pengunduran sepenuhnya tentera dari Afghanistan: Laporan kepada Kongres

Mengundurkan tentera Amerika Syarikat sepenuhnya pada tarikh 1 Mei yang dijanjikan sebelum ini mengakibatkan perang saudara, menggugat kestabilan rantau itu dan menghidupkan kembali ancaman al-Qaeda.

Anggaran Waktu Membaca:
AS patut tunda pengunduran sepenuhnya tentera dari Afghanistan: Laporan kepada Kongres

Gambar fail seorang askar AS di Afghanistan pada 5 Ogos 2018 (Gambar: REUTERS/Omar Sobhani)

Diterbitkan : 04 Feb 2021 12:35PM Dikemas Kini : 04 Feb 2021 12:41PM

WASHINGTON: Amerika Syarikat patut melanjutkan tarikh akhir 1 Mei untuk menarik balik semua tenteranya dari Afghanistan, dan pengunduran pasukan tentera perlu tertakluk pada kemajuan rundingan damai serta sejauh mana Taliban mengurangkan keganasan dan membendung al-Qaeda, menurut satu laporan berkecuali kepada Kongres pada Rabu (3 Feb).

Washington tidak sepatutnya mengabaikan proses perdamaian Afghanistan, tegas laporan tersebut. Namun syarat kejayaannya tidak akan dipenuhi sebelum tarikh akhir 1 Mei yang ditetapkan dalam perjanjian AS-Taliban 2020. Mengundurkan tentera Amerika Syarikat sepenuhnya pada tarikh itu boleh mengakibatkan perang saudara, menggugat kestabilan rantau itu dan menghidupkan kembali ancaman al-Qaeda.

Amerika Syarikat "tidak seharusnya ... dengan mudah menyerahkan kemenangan kepada Taliban," kata laporan Kumpulan Kajian Afghanistan, mencerminkan kritikan bahawa pentadbiran Trump terlalu banyak mengalah kepada pemberontak dalam usaha menamatkan perang terpanjang Amerika.

Jurucakap Jabatan Negara, Ned Price berkata, pentadbiran Biden "merancang untuk menyokong" proses perdamaian, dan sedang menilai komitmen Taliban untuk memutuskan hubungan dengan al Qaeda, mengurangkan keganasan dan melibatkan diri dalam rundingan damai.

Bekas Presiden Donald Trump mengarahkan jumlah pasukan tentera Amerika Syarikat dikurangkan kepada 2,500 pada bulan lalu meskipun sedang keganasan meningkat; para pegawai Amerika Syarikat berkata bahawa Taliban mengekalkan hubungan dengan al-Qaeda; dan rundingan damai dalam Afghanistan terhenti.

Taliban menegaskan anggota al-Qaeda tidak lagi berada di Afghanistan. Taliban juga telah membayangkan bahawa mereka akan menyambung semula serangan terhadap tentera asing jika mereka tidak berundur selepas 1 Mei.

Dasar Amerika Syarikat perlu dinilai semula untuk membantu memastikan bahawa rundingan damai di Doha antara Taliban dengan delegasi yang merangkumi pegawai pemerintah Afghanistan menghasilkan penyelesaian yang boleh bertahan, menurut laporan itu.

"Mencapai matlamat keseluruhan iaitu keamanan stabil yang dirundingkan yang memenuhi kepentingan Amerika Syarikat perlu bermula dengan persetujuan melanjutkan tarikh akhir pada Mei," tulis laporan itu, yang menggesa desakan diplomatik "segera" oleh Amerika Syarikat untuk menggembleng sokongan serantau bagi penangguhan.

Pelanjutan tarikh akhir itu juga akan memberi masa untuk Washington menyusun semula bantuan awam Amerika Syarikat dan menawarkan insentif kepada Kabul "untuk memainkan peranan membina" dalam usaha perdamaian dan memajukan hak wanita dan minoriti. 

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan