Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pasukan Polis Marin M'sia patahkan cubaan seludup 727 tayar dari S'pura

Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menggagalkan percubaan menyeludup masuk 727 tayar pelbagai jenis bernilai lebih RM690,000 (S$224,000) dari Singapura, di Plaza Tol Kempas, Johor Bahru, pada 28 Oktober lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan Polis Marin M'sia patahkan cubaan seludup 727 tayar dari S'pura

Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menggagalkan percubaan menyeludup masuk 727 tayar dari Singapura. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 04 Nov 2021 02:10PM Dikemas Kini : 04 Nov 2021 02:13PM

JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menggagalkan percubaan menyeludup masuk 727 tayar pelbagai jenis bernilai lebih RM690,000 (S$224,000) dari Singapura, di Plaza Tol Kempas, Johor Bahru, pada 28 Oktober lalu.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kejayaan itu hasil daripada pemantauan dan intipan pasukan PPM, dengan mengekori sebuah treler mencurigakan yang keluar dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), kira-kira pukul 5.35 petang.

“Polis telah menahan lori treler berkenaan dan menahan seorang lelaki tempatan yang merupakan pemandu berusia 56 tahun di Plaza Tol Kempas.

“Susuli itu, satu lagi penangkapan berjaya dilakukan ke atas satu lelaki tempatan berumur 28 tahun di sebuah premis di Taman Sri Skudai pada keesokkan harinya, kira-kira pukul 6.05 petang,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat PPM Wilayah Dua.

Beliau berkata siasatan mendapati lelaki kedua yang ditahan dipercayai berperanan menguruskan segala urusan membawa tayar tidak bercukai masuk ke negara ini dari Singapura. Lelaki berkenaan juga merupakan majikan kepada lelaki dalam penangkapan pertama.

Encik Ayob Khan berkata selain tayar, turut dirampas adalah sebuah lori treler jenis Mitsubishi bernilai RM150,000 (S$49,000) dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM847,759 (S$275,600).

Beliau menambah kedua-dua individu yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan sindiket terbabit dipercayai sudah beroperasi sejak lebih enam atau tujuh bulan lalu.

Ketika ditanya mengenai pembabitan 'orang dalam' dalam kegiatan itu, Encik Ayob Khan berkata siasatan masih dijalankan.

“Pintu masuk bukan di bawah tanggungjawab kami, namun kami akan berkolaborasi dengam Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk mengesan dalang aktiviti penyeludupan berkenaan kerana modus operandi mereka adalah menggunakan laluan yang dikawal jabatan berkenaan.

“Jika kami melihat di pintu masuk, ada disediakan laluan khas untuk lori yang isytihar tidak membawa barang; treler terbabit melepasi laluan itu,” katanya. Beliau menambah tayar seludup baru itu dipercayai akan dijual pada harga lebih murah atau mengikut harga pasaran.

Menurut beliau lagi, lelaki pertama direman tujuh hari manakala lelaki kedua direman dua hari bagi membantu siasatan.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan