Pasukan Petugas Khas berhubung Pedra Branca bentang laporan kepada Sultan Johor
Gambar: Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar semalam (15 Mei) menerima laporan Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menyemak isu dan tindakan perundangan berhubung kes Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama dengan Pengerusi Pasukan Petugas Khas berkenaan, Mohamed Apandi Ali membentangkan laporan itu serta taklimat kepada Sultan Ibrahim di Istana Polo, Johor Bahru.
Berangkat sama ke pertemuan itu ialah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
Turut hadir Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi.
Pada 29 Oktober lalu, Kabinet sudah bersetuju membentuk Pasukan Petugas Khas itu ekoran keputusan Kerajaan Persekutuan ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada 2018 untuk tidak meneruskan permohonan semakan semula kes Pedra Branca di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Sultan Ibrahim dilaporkan sebagai berkata bahawa keputusan itu seolah-olah mengaku kalah sebelum memasuki gelanggang di ICJ walaupun ada penemuan bukti baru yang memihak kepada Malaysia.
“Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil? Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu?” soal beliau dalam satu kenyataan pada tahun lalu.
Pada pertemuan semalam (15 Mei), Sultan Ibrahim sekali lagi menegaskan kepada Pasukan Petugas Khas bahawa sebab-sebab keputusan kerajaan Dr Mahathir untuk tidak meneruskan semakan semula kes itu di ICJ perlu dijadikan pengetahuan umum.
“Ini adalah soal kedaulatan negeri Johor. Rakyat Johor berhak untuk mengetahui mengapa Kerajaan PH (Pakatan Harapan) mengambil keputusan sedemikian,” tegas beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.