Pasukan petugas Johor usul tubuh agensi tunggal urus kesesakan Koswe
Pasukan petugas negeri Johor yang sedang mengkaji isu kesesakan Koswe mengusulkan penubuhan sebuah agensi tunggal kerajaan untuk menguruskan operasi-operasi di pusat pemeriksaan.
JOHOR BAHRU: Pasukan petugas negeri Johor yang sedang mengkaji isu kesesakan Koswe mengusulkan penubuhan sebuah agensi tunggal kerajaan untuk menguruskan operasi-operasi di pusat pemeriksaan.
Ini merupakan salah satu daripada 11 saranan oleh pasukan petugas yang dipimpin ADUN Stulang, Andrew Chen.
Menurut laporan New Straits Times hari ini (21 Jan), Encik Chen berkata terdapat terlalu banyak agensi kerajaan yang terlibat dalam operasi kastam, imigresen dan kuarantin di kompleks Sultan Iskandar, Johor Bahru, buat masa ini.
"Terdapat 23 jabatan dan agensi yang beroperasi di kompleks tersebut sekarang, dan setiap satu melaporkan kepada pemegang jawatan tinggi masing-masing. Ini menghambat usaha untuk melaksanakan sebarang perubahan kerana setiap jabatan dan agensi mempunyai peraturan sendiri," kata ADUN itu.
Malaysia perlu mencontohi Singapura, di mana Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) bertanggungjawab ke atas semua urusan berkaitan pusat pemeriksaan, tambahnya.
"Dengan hanya satu agensi, kita mampu mengurangkan birokrasi dalam pentadbiran sempadan dan mempertingkat masa bertindak sekiranya sebarang masalah timbul," kata Encik Chen seperti yang dilaporkan New Straits Times.
Pasukan petugas kesesakan Koswe ditubuhkan kerajaan negeri Johor pada Julai tahun lalu bagi mengkaji masalah-masalah yang menjejas trafik di pusat pemeriksaan.
Terdapat satu lagi pasukan petugas berasingan yang meninjau isu-isu kesesakan di Linkedua.
Di samping menubuhkan sebuah agensi tunggal, pasukan petugas Koswe juga menyarankan jumlah kakitangan Jabatan Imigresen juga ditambah pada waktu-waktu sibuk, serta berunding dengan Singapura untuk meningkatkan kekerapan khidmat kereta api antara Johor Bahru dengan Woodlands.
Pasukan petugas itu juga antara lain menggesa supaya Projek Sistem Transit Laju (RTS) diteruskan.
Projek RTS, yang menhubungkan stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan stesen Woodlands North di Singapura, dijangka siap menjelang 2024.
LAPORAN PASUKAN PETUGAS SUDAH DISERAHKAN KEPADA AGENSI-AGENSI BERKAITAN
Encik Chen berkata pasukan petugasnya mengambil sekitar empat bulan untuk menyelesaikan laporan itu, yang diserahkan kepada kementerian dan agensi-agensi berkaitan awal bulan ini.
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin juga sudah menerima laporan itu, katanya.
"(Muhyiddin) memberitahu saya bahawa beliau akan meneliti saranan-saranan dalam laporan itu, dan jika sesuai, akan cuba melaksanakannya secepat mungkin," kata Encik Chen.
Kesesakan teruk di Koswe menarik perhatian ramai bulan lalu. Ia dikatakan berlaku akibat ancaman bom palsu, kenderaan rosak dan tindakan sesetengah pelancong yang memotong giliran, menurut ICA.
Menteri Ehwal Dalam Negeri Singapura K Shanmugam berkata 90 peratus pegawai ICA bertugas dan kira-kira 500 pergawai bekerja lebih masa bulan lalu bagi menguruskan aliran trafik yang sesak di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas semasa perayaan Krismas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.