Skip to main content

Dunia

Pasukan penyelamat, pengawal pantai Australia kembali bertugas di Pantai Bondi susuli serangan maut

Sekitar 1,000 anggota pasukan penyelamat pantai kembali bertugas di Pantai Bondi di Sydney pada Sabtu (20 Dis), menyambung semula rondaan yang dijalankan pada hari keenam selepas dua lelaki bersenjata membunuh 15 orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain ketika sambutan Hanukkah, perayaan masyarakat Yahudi, di tepi pantai.
Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan penyelamat, pengawal pantai Australia kembali bertugas di Pantai Bondi susuli serangan maut
Para penyelamat pantai di Pantai Bondi, Sydney, Australia, pada 20 Disember 2025. (Foto: REUTERS/Audrey Richardson)
Diterbitkan : 20 Dec 2025 01:54PM
SYDNEY: Sekitar 1,000 anggota pasukan penyelamat pantai kembali bertugas di Pantai Bondi di Sydney pada Sabtu (20 Dis), menyambung semula rondaan yang dijalankan pada hari keenam selepas dua lelaki bersenjata membunuh 15 orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain ketika sambutan Hanukkah, perayaan masyarakat Yahudi, di tepi pantai.

Kejadian tembakan beramai-ramai itu, yang paling dahsyat di Australia dalam tempoh hampir 30 tahun, sedang disiasat sebagai satu tindakan pengganasan yang menyasarkan masyarakat Yahudi, sedang pihak berkuasa meningkatkan rondaan dan kawalan keselamatan di seluruh negara bagi mencegah satu lagi insiden keganasan.

Para penyelamat profesional dan relawan Pantai Bondi, dengan pakaian seragamnya yang tersendiri, berbaris di pantai pada pagi Sabtu pagi (20 Dis) untuk bertafakur selama dua minit bagi memperingati para mangsa, menurut jurucakap Surf Life Saving Australia.

Presidennya, Peter Agnew, berkata dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen bahawa penghormatan itu adalah satu “tanda hormat kepada masyarakat Yahudi dan ia juga bertujuan untuk saling memberi sokongan pada pagi ini”.

Pada Jumaat (19 Dis), masyarakat Yahudi di ustralia berhimpun di Pantai Bondi untuk berdoa, sedang beratus-ratus perenang dan peluncur air membentuk satu bulatan besar di pantai yang terkenal itu bagi memperingati para mangsa.

Perdana Menteri Australia Anthony Albanese pada Jumaat (19 Dis) menghadiri upacara keagamaan di Great Synagogue di Sydney, dan menulis di platform media sosial X: “Seluruh rakyat Australia berdiri teguh bersatu menentang sikap anti-Yahudi dan kebencian.”

Encik Albanese, yang berdepan tekanan daripada para pengkritik yang menuduh pemerintah pimpinannya tidak melakukan yang secukupnya untuk membendung peningkatan sikap anti-Yahudi sejak bermulanya perang Gaza, berkata pemerintah akan memperkukuh undang-undang terhadap kebencian berikutan serangan itu.

Pemerintah persekutuan dan pemerintah wilayah New South Wales, tempat di mana terletaknya Sydney, turut berikrar akan melaksanakan pelbagai penyusunan semula, termasuk mengetatkan undang-undang bagi mengawal senjata api.

Suspek serangan tersebut, Sajid Akram, 50 tahun, ditembak mati oleh polis di tempat kejadian.

Anak lelakinya yang berusia 24 tahun, Naveed Akram, yang turut ditembak polis dan kini tidak lagi dalam keadaan koma telah didakwa dengan 59 tuduhan, termasuk membunuh dan pengganasan, menurut polis.

Mereka percaya pasangan anak-beranak itu terpengaruh dengan ideologi tegar ISIS.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita