Skip to main content

Dunia

Pasukan penyelamat kapal pesiaran Disney selamatkan bapa dan anak selepas terjatuh dari kapal

Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan penyelamat kapal pesiaran Disney selamatkan bapa dan anak selepas terjatuh dari kapal

Penunggang jet ski melepasi kapal-kapal Disney Cruise Line "Fantasy," (kiri) dan "Dream" ketika ia berada di luar pantai Cocoa Beach, Florida pada 24 Mac, 2021. (Gambar fail: AP/Orlando Sentinel/Joe Burbank)

Diterbitkan : 01 Jul 2025 11:01PM Dikemas Kini : 01 Jul 2025 11:17PM
FORT LAUDERDALE, Florida: Kru sebuah kapal pesiaran Disney menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan yang terjatuh dari kapal dan bapanya yang terjun untuk menyelamatkannya.

Pasukan penyelamat Disney Dream menarik kanak-kanak perempuan tersebut dan bapanya ke dalam sebuah bot kecil pada Ahad (29 Jun) ketika kapal pesiaran itu sedang kembali ke Fort Lauderdale, Florida, dari Bahamas pada hari terakhir pelayaran, menurut Disney dan penumpang-penumpang yang merakam insiden menyelamat itu.

Para penumpang dimaklumkan bahawa seseorang terjatuh dari kapal melalui satu pengumuman, kata penumpang Kevin Furuta dalam satu catatan di media sosial.

"Syukurlah pasukan penyelamat (Disney Cruise Lines) bertindak segera dan kedua-duanya diselamatkan!" kata Encik Furuta menerusi satu catatan ke kumpulan Facebook, Disney Dream Cruise Ship Group.

Tiada maklumat dikeluarkan tentang bagaimana kanak-kanak itu terjatuh dari kapal.

"Kami memuji kru kami atas kemahiran luar biasa dan tindakan segera mereka, yang memastikan kedua-dua tetamu kembali ke kapal dengan selamat dalam masa beberapa minit," menurut Disney menerusi satu kenyataan.

"Kami komited kepada keselamatan dan kesejahteraan tetamu kami, dan insiden ini menunjukkan keberkesanan protokol keselamatan kami."

Pengawal Pantai tidak memberi respons kepada e-mel bagi mendapatkan komen.
 
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita