Skip to main content

Dunia

Pasukan penyelamat Indonesia temui mayat ketiga dalam nahas bot pelancong

Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan penyelamat Indonesia temui mayat ketiga dalam nahas bot pelancong
Dalam foto yang dikeluarkan oleh BASARNAS pada Selasa, 6 Jan 2026, penyelamat meletakkan mangsa bot pelancong yang tenggelam di perairan Taman Negara Komodo pada 26 Dis ke dalam ambulans di Labuan Baja, Indonesia. (Gambar: AP/BASARNAS)
 
Diterbitkan : 07 Jan 2026 08:53AM Dikemas Kini : 07 Jan 2026 08:57AM
JAKARTA: Pasukan penyelamat Indonesia pada Selasa (6 Jan) menemui mayat ketiga daripada sebuah bot pelancong yang karam dalam satu lawatan percutian Hari Krismas.

Menurut pihak berkuasa, dua anak lelaki kepada jurulatih pasukan bola sepak Sepanyol yang maut dalam kejadian itu masih dilaporkan hilang.

Mayat itu ditemui berhampiran pesisir pantai Pede selepas para nelayan menemui bangkai bot itu, yang dihanyutkan arus hampir 14 kilometer daripada mana ia karam, kata Fathur Rahman, ketua pejabat pencarian dan penyelamat Maumere.

Satu lawatan percutian sekeluarga bertukar tragik bagi jurulatih pasukan bola sepak B Wanita Valencia CF, Fernando Martin, 44 tahun apabila bot yang dinaiki beliau, isterinya, empat orang anak mereka, empat kru kapal dan seorang pemandu pelancong karam pada lewat petang 26 Disember setelah ia mengalami kerosakan enjin di kawasan Taman Negara Komodo.

Isteri dan seorang anak mendiang, serta empat kru kapal dan pemandu pelancong dapat diselamatkan selang beberapa jam selepas kejadian itu berlaku.

Mayat Martin dan anak perempuannya disemadikan di Bali pada Isnin, atas permintaan keluarganya, disebabkan oleh ruang terhad di bilik mayat di Labuan Bajo, kata jurucakap Polis Nusa Tenggara Timur, Ariasandy.

Indonesia adalah sebuah negara kepulauan dengan lebih daripada 17,000 pulau, di mana bot adalah satu bentuk pengangkutan biasa.

Dengan piawaian keselamatan yang longgar dan masalah kesesakan, kemalangan kerap berlaku.
 
Sumber : Agensi berita/HA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita