Skip to main content

Dunia

Pasukan penyelamat Britain pikat anjing dalam bahaya dengan sosej berjuntai dari dron

Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan penyelamat Britain pikat anjing dalam bahaya dengan sosej berjuntai dari dron

Gambar: Denmead Drone Search and Rescue

Diterbitkan : 24 Jan 2022 09:42PM Dikemas Kini : 24 Jan 2022 09:44PM

ENGLAND: Sebuah pasukan penyelamat sukarela Britain berjaya menyelamatkan seekor anak anjing yang terkandas daripada lemas dibawa arus menggunakan sosej yang berjuntai daripada dron.

Millie, anak anjing spesis campuran Jack Russell dan whippet berusia tiga tahun itu, hilang daripada rumah keluarganya di Hampshire, di Selatan England, pada 13 Januari.

Selepas menerima beberapa maklumat tentang Millie yang dilihat "berlari-lari di jalan raya," para sukarelawan pasukan Mencari dan Menyelamat Denmead Drone menemui anak anjing itu di sebuah dataran lumpur, menurut kumpulan penyelamat haiwan itu di Facebook.

Para sukarelawan pada mulanya mencuba untuk menghampiri Millie atau menggunakan kayak untuk menyelamatkannya. Malah mereka mengerahkan pasukan-pasukan penyelamat pakar bagi kawasan berlumpur untuk mendapatkannya.

Namun, setiap percubaan hanya membuatkan anak anjing yang ketakutan itu berundur ke kawasan lebih berbahaya kerana Millie berlari untuk mengelak daripada ditangkap.

"Kami diberitahu jika Millie tidak dipindahkan dalam masa beberapa jam, kami akan terputus hubungan dengannya dan kawasan itu mungkin dinaiki air dan anak anjing itu akan lemas," menurut pasukan Mencari dan Menyelamat Denmead Drone di Facebook.

Ketika itu, seorang sukarelawan juruterbang dron mencadangkan untuk mengikat sosej pada dron dengan harapan dapat memikat anak anjing itu ke kawasan selamat.

"Kami tidak sangka cadangan ini akan berhasil," menurut kumpulan penyelamat tersebut.

Sekalipun begitu, Millie memakan hanya setengah sosej itu dan kemudian berlari lagi. Namun kali ini, anak anjing itu berlari ke kawasan perindustrian yang berdekatan dan berjaya diselamatkan pada keesokan hari.

Millie akhirnya bersatu semula dengan pemiliknya dua hari kemudian.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita