Pasukan pembelaan Najib mohon kemuka rayuan pada Isnin
Sejurus selepas bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak didapati bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan membabitkan RM42 juta (S$14 juta) dana SRC International Sdn Bhd hari ini (28 Jul), pasukan pembelaannya memohon agar rayuan bagi hukuman yang ringan didengar pada Isnin ini.
Najib Razak (tengah) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Malaysia pada 28 Jul 2020 (Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Sejurus selepas bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak didapati bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan membabitkan RM42 juta (S$14 juta) dana SRC International Sdn Bhd hari ini (28 Jul), pasukan pembelaannya memohon agar rayuan bagi hukuman yang ringan didengar pada Isnin ini.
Peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan permohonan itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, kerana beliau akan memanggil seorang atau dua saksi untuk menyokong rayuan berkenaan.
"Ini bukan sesuatu yang baru untuk menyokong faktor peringanan hukuman. Tidak akan ada prejudis terhadap pihak pendakwaan bagi mahkamah menangguhkan rayuan pada Isnin. Anak guam saya tidak akan ke mana-mana kerana pergerakan negara ini masih disekat kerana pandemik COVID-19,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc V. Sithambaram membantah permohonan itu atas alasan rayuan itu perlu diteruskan memandangkan penghakiman telah diumumkan.
"Yang Arif telah mendapati tertuduh bersalah, biasanya penangguhan selepas sabitan tetapi penangguhan di sini selepas keputusan. Dalam hal ini, jelas prejudis di pihak pendakwaan dan ia situasi yang janggal," tegas Encik Sithambaram.
Terdahulu Hakim Mohd Nazlan mendapati bekas perdana menteri itu bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta (S$14 juta) dana SRC International Sdn Bhd.
Beliau memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Najib, 67.
Encik Sithambaram kemudian berhujah bahawa setelah disabitkan, hukuman perlu dijatuhkan terhadap tertuduh.
Pada peringkat ini, Encik Muhammad Shafee bangun dan mengatakan bahawa mahkamah boleh membenarkan penangguhan pendengaran rayuan sebelum menjatuhkan hukuman memandangkan pembelaan memerlukan masa untuk membuat rayuan yang sempurna.
"Saya menganggap prosiding rayuan supaya hukuman diringankan sebagai sesuatu yang serius dalam semua kes, bukan hanya untuk kes ini. Ini bukan kali pertama permohonan untuk menangguhkan rayuan dibuat memandangkan ia pernah dilakukan dalam beberapa kes sebelum ini,” kata Encik Muhammad Shafee.
Sebagai respons kepada hujah Encik Muhammad Shafee, Hakim Mohd Nazlan meminta peguam berkenaan mengemukakan kes yang dirujuknya, bagaimanapun, Encik Muhammad Shafee berkata kes tersebut tidak dilaporkan.
Encik Sithambaram berkata mahkamah boleh membenarkan permohonan itu jika terdapat keadaan khusus.
Hakim Mohd Nazlan kemudian menangguhkan prosiding sehingga 2.00 petang untuk memutuskan permohonan itu.
“Sekiranya tidak yakin atau berpuas hati (dengan hujah pembelaan), mahkamah akan meneruskan prosiding dengan menjatuhkan hukuman,” kata hakim.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.