Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pasukan menyelamat Indonesia temui bahagian mayat mangsa Lion Air

Pasukan mencari dan menyelamat Indonesia sudah menemui beberapa bahagian mayat serta serpihan bangkai pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Tanjung Karawang pagi tadi (29 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Oct 2018 07:30PM Dikemas Kini : 29 Oct 2018 08:52PM

JAKARTA: Pasukan mencari dan menyelamat Indonesia sudah menemui beberapa bahagian mayat serta serpihan bangkai pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Tanjung Karawang pagi tadi (29 Okt).

Sejauh ini, belum ada pengesahan mengenai nasib kesemua orang di dalam pesawat itu.

Namun, agensi mencari dan menyelamat Basarnas percaya tiada orang yang terselamat.

Pengarah Operasi Basarnas, Bambang Suryo, berkata andaian itu dibuat berdasarkan bahagian-bahagian mayat yang sudah ditemui setakat ini.

Menurut beliau, pihaknya perlu menemui bangkai pesawat itu sebelum ia dapat membuat kesimpulan muktamad.

Pesawat Lion Air JT-610 itu berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di Jakarta pada 6.20 pagi tadi (29 Okt), menuju ke bandar Pangkal Pinang di Sumatera.

Bagaimanapun 13 minit kemudian, ia terhempas di perairan Tanjung Karawang di utara Jakarta.

Seorang jurucakap pasukan mencari dan menyelamat berkata pesawat Boeing-737 MAX 8 itu tenggelam kira-kira 30 hingga 40 meter di dalam laut.

Pesawat berkenaan membawa 189 penumpang dan anak kapal, termasuk seorang kanak-kanak dan dua bayi serta 20 pegawai Kementerian Kewangan Indonesia.

Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani, berkata: "20 ini adalah 20 pegawai kami dari bahagian cukai, perbendaharaan dan kekayaan negara yang memang bertugas di Pangkal Pinang dan berangkat pagi tadi (29 Okt), cukup banyak dari Kementerian Kewangan."

"Mereka memang sedang kembali menuju ke tempat tugas masing-masing sesudah mereka menghadiri peringatan 72 tahun Kementerian Kewangan di Jakarta, mahupun kerana mereka biasanya menggunakan waktu itu untuk menjenguk keluarga mereka yang tinggal di Jakarta," tambah beliau.

Gambar barang peribadi milik para penumpang dan anak kapal pesawat Lion Air yang ditemui. (Gambar: Resmi Malau/AFP)

Pesawat Boeing-737 Max 8 yang terhempas itu merupakan sebuah pesawat baru. Ia mula digunakan pada Ogos lalu dan mencatat masa penerbangan 800 jam.

Bagaimanapun dua juruterbangnya, secara bersama-sama, sudah mencatat masa penerbangan 11,000 jam.

Para pegawai berkata punca nahas tersebut hanya akan diketahui apabila mereka dapat menemui kotak-kotak hitam rakaman penerbangan itu.

(Gambar: AFP)

Menurut laporan, juruterbang pesawat Lion Air itu meminta kebenaran untuk berpatah balik ke Jakarta sebelum ia terputus hubungan dengan para pegawai di darat.

Dalam sidang media yang diadakan hari ini (29 Okt), Pengarah Lion Air berkata pesawat yang terhempas itu mengalami masalah teknikal semasa penerbangannya yang lalu namun sudah dapat diatasi.

"Pesawat ini terakhir terbang dari Denpasar, Bali menuju Cengkareng, Jakarta dalam keadaan dibenarkan untuk terbang. Memang ada laporan mengenai masalah teknikal dan masalah teknikal itu sudah ditangani sesuai dengan prosedur penyenggaraan yang dikeluarkan oleh pihak kilang pembuat pesawat itu," kata Edward Sirait, Pengarah Lion Air.  

Sumber : Agensi berita/MU/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan