Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bukti kerajaan M'sia tidak lepas tangan isu mendesak

Penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi membuktikan kerajaan Malaysia tidak mengamalkan sikap lepas tangan dalam menyelesaikan isu rakyat yang kian mendesak. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bukti kerajaan M'sia tidak lepas tangan isu mendesak

Rakyat Malaysia menolak kereta sorong berisi barangan yang dibeli dari sebuah pasar raya. (Gambar: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi membuktikan kerajaan Malaysia tidak mengamalkan sikap lepas tangan dalam menyelesaikan isu rakyat yang kian mendesak. 

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata ramai yang tidak sedar bagaimana kerajaan menjalankan peranannya dalam mengurangkan kesan inflasi pada rakyat.

Beliau berkata penubuhan pasukan tersebut adalah satu pendekatan rentas kementerian yang holistik dirumuskan kerajaan dan memastikan rakyat memahami situasi yang sedang melanda negara.

"Saya rasa tindakan yang dilakukan pasukan ini kalau dilihat tindakannya sama sepertimana kita menangani COVID-19. Kerajaan membuat pengumuman setiap kali mesyuarat diadakan untuk maklumkan rakyat apakah tindakan yang diambil bagi mengatasi masalah inflasi dan rakyat juga dapat bertindak bersama," katanya kepada Bernama.

Berkongsi pandangan yang sama, Ketua Ekonomi BIMB Securities Imran Nurginias berkata langkah menubuhkan pasukan itu juga membolehkan kerajaan memulihkan ekonomi dengan mendalami kelemahan pasaran.

"Pasukan petugas ini juga akan mendengar pandangan dan rungutan pengguna serta input daripada kumpulan pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, Encik Imran berharap pasukan khas yang ditubuhkan pada Rabu lalu (29 Jun) itu dapat menyusun strategi dan menyelaraskan tindakan untuk menyelesaikan isu berkaitan inflasi, khususnya dalam mengawal kenaikan harga barang dengan lebih berkesan.

Beliau menambah perkara itu dapat dicapai melalui penguatkuasaan yang lebih jitu dalam mencegah salah laku peniaga dan melihat kepada kesan domino akibat kenaikan harga barang serta menyelesaikan masalah rantaian bekalan barangan.

Sementara itu, Presiden Kelab Belia Prihatin Malaysia Luqman Hakim Md Zim pula memberi saranan kepada pasukan itu supaya mengkaji semula subsidi bersasar seperti yang dilakukan oleh kebanyakan negara maju untuk mengurangkan beban rakyat.

“Saya berpandangan pasukan Jihad itu perlu mengkaji semula pelaksanaan dan peruntukan subsidi rawak seperti yang kerajaan berikan terhadap petrol...selain dapat jimatkan perbelanjaan kerajaan, ia memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat di negara ini,” katanya.

Encik Luqman Hakim juga menyarankan agar kerajaan mewujudkan kad pembelian khususnya untuk barangan terkesan seperti beras, minyak masak dan sebagainya. 

Kad pembelian itu, terang beliau, adalah langkah yang terbaik supaya kerajaan dapat mengurangkan perbelanjaan negara dan sebaliknya memberikan bantuan yang lebih bersasar kepada golongan yang memerlukan.

Rabu lalu, Mesyuarat Jemaah Menteri dilaporkan bersetuju untuk menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi, khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih cekap serta berkesan. 
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan