Skip to main content

Dunia

Pasukan Gerakan Am tahan 4 pemandu treler; seludup masuk pendatang asing ke M'sia

Anggaran Waktu Membaca:

BUKIT KAYU HITAM: Pasukan Gerakan Am (PGA) Malaysia menahan empat pemandu treler kerana menyeludup masuk enam pendatang tanpa izin warga India menggunakan kenderaan berkenaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Selasa (7 Jun). 

Pegawai Pemerintah Batalion 1 PGA Ulu Kinta Supt, Shamsul Baharin Aman, berkata empat lelaki tempatan berusia 28 hingga 41 tahun itu ditahan dalam sekatan jalan raya yang dilakukan di Bukit Kayu Hitam pada pukul 11.40 malam.

“Pemeriksaan ke atas treler bermuatan barangan runcit, buah-buahan dan sayur-sayuran itu dilakukan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.

“Hasilnya, anggota PGA menemukan warga India terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga 59 tahun di bahagian tempat duduk penumpang dalam kesemua kenderaan itu,” kata beliau dalam sidang media di Bukit Kayu Hitam, hari ini (9 Jun). 

Beliau berkata pihaknya percaya penyeludupan pendatang asing dengan menggunakan treler dari Thailand ke negara ini merupakan modus operandi terbaru dengan pendatang asing bertindak seolah-olah sebagai kelindan lori.

Encik Shamsul Baharin berkata menyusuli penahanan itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 40-an dipercayai tekong darat yang mengupah pemandu lori berkenaan dengan bayaran RM500 (S$157.26) seorang bagi membawa masuk pendatang asing tersebut.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, kesemua pendatang asing itu akan dibawa ke Pulau Pinang untuk bekerja sebagai pembantu restoran.

“Kita jangka akan ada lagi kemasukan pendatang asing warga India ke negara ini ekoran banyak kedai makan serta restoran sudah dibuka," kata beliau dengan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 26(A) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita