Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pasukan Gerakan Am M'sia lebur percubaan seludup 828kg ayam sejuk beku

Anggaran Waktu Membaca:
 Pasukan Gerakan Am M'sia lebur percubaan seludup 828kg ayam sejuk beku

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 15 Jun 2022 04:04PM Dikemas Kini : 15 Jun 2022 04:04PM
KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) terpaksa melepaskan beberapa das tembakan sebelum berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai cuba menyeludup 838 kilogram (kg) ayam sejuk beku dari Thailand bernilai RM10,350 (S$3,271.17) berdekatan Kampung Bukit Lata di Pasir Mas, semalam (14 Jun).

Komander PGA Briged Tenggara, Hasan Basri Ahmad Safar berkata insiden bermula sekitar pukul 9.00 pagi apabila anggota PGA ternampak lelaki mencurigakan sedang memunggah kotak daripada sebuah perahu ke dalam kereta berdekatan pangkalan haram Jitong di tebing Sungai Golok.

Ketika menyedari kehadiran anggota PGA, suspek yang berumur 27 tahun itu bertindak melarikan diri dengan memecut kenderaan dan cuba merempuh beberapa anggota PGA yang cuba menghalangnya.

"Anggota PGA terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar hadapan dan belakang sebelah pemandu kenderaan itu sebelum suspek berjaya ditahan di Kampung Bukit Lata," kata beliau dalam kenyataan hari ini (15 Jun).

Kata beliau lagi, pemeriksaan di dalam kenderaan suspek membawa kepada penemuan 69 kotak berisi ayam sejuk beku yang disyaki diseludup dari Thailand untuk pasaran tempatan.

Suspek didapati mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

"Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kereta dan ayam sejuk beku adalah bernilai RM25,350 (S$8,011.83) dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata Api dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," kata beliau.
Sumber : Bernama/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa