Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pasukan forensik bomba mula siasat punca kebakaran di The Andaman

Pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah memulakan siasatan bagi mengenal pasti punca sebuah blok bangunan di resort lima bintang, The Andaman, a Luxury Collection Resort.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan forensik bomba mula siasat punca kebakaran di The Andaman

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 14 Jan 2021 04:54PM Dikemas Kini : 14 Jan 2021 04:57PM

LANGKAWI: Pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah memulakan siasatan bagi mengenal pasti punca sebuah blok bangunan di resort lima bintang, The Andaman, a Luxury Collection Resort di Jalan Teluk Datai, kira-kira 40 kilometer dari Bandar Kuah dekat sini, terbakar dua kali, pada petang Selasa (12 Jan) dan awal pagi Rabu (13 Jan).

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Encik Nor Hisham Mohammad berkata pasukan forensik tersebut turut dibantu anggota daripada JBPM Kedah.

"Siasatan telah bermula sejak semalam melibatkan pakar dari ibu pejabat JBPM Putrajaya dibantu oleh anggota JBPM Kedah. Hari ini selain siasatan forensik kebakaran, anggota akan turut menyoal siasat saksi terlibat.

"JBPM akan melihat secara keseluruhan kerana didapati berdasarkan reka bentuk bangunan di resort tersebut, sewajarnya kebakaran tidak merebak terlalu cepat. Kita akan lihat serta tangani isu ini dari segi perundangan selain melihat juga keperluan logistik setempat," katanya kepada Bernama, hari ini (14 Jan).

Encik Nor Hisham yang turun ke lokasi kejadian semalam (13 Jan), turut berkongsi kesukaran dihadapi anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi dan BBP Persiaran Putra bersama Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) resort ketika proses memadam kebakaran.

"Selain keadaan cuaca panas dan kering serta struktur binaan kayu di resort itu, berdasarkan pemerhatian saya di lapangan semalam anggota sukar untuk mendapatkan bekalan air yang banyak bagi memadam kebakaran di lokasi ini dengan lebih efektif.

“Ini kerana akses di lokasi menyukarkan jentera untuk datang selain bekalan air yang disediakan resort terlibat berdasarkan pengiraaan hanya boleh bertahan lima jam, apabila kebakaran melebihi 12 jam, keadaan sudah sukar dikawal,” katanya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan