Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pasca PRU15: M'sia cari Perdana Menteri, formula untuk bentuk kerajaan pusat

Anggaran Waktu Membaca:
Pasca PRU15: M'sia cari Perdana Menteri, formula untuk bentuk kerajaan pusat

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 23 Nov 2022 07:36AM Dikemas Kini : 23 Nov 2022 07:37AM
KUALA LUMPUR: Setelah lebih 48 jam melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berakhir dengan keputusan tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan, perhatian rakyat tertumpu kepada Istana Negara untuk mengetahui siapakah Perdana Menteri Malaysia yang baru.

Keputusan PRU15 dengan situasi Parlimen tergantung menyaksikan dua blok politik Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN), yang memiliki kerusi Parlimen terbanyak, berada dalam keadaan buntu untuk membentuk gabungan kerajaan yang mempunyai majoriti mudah 112 kerusi.

Bagi memecah kebuntuan, PH mahupun PN, yang masing-masing memperoleh 82 dan 73 kerusi, mendakwa mempunyai jumlah dan sokongan Ahli Parlimen Bebas mencukupi untuk menubuhkan kerajaan pusat.

Beberapa siri perbincangan dan rundingan diadakan oleh kedua-dua blok bagi memujuk parti-parti lain untuk bergabung dan menyokong calon Perdana Menteri seterusnya, sehingga Selasa (22 Nov) masih belum berjaya.

Pelbagai formula dikeluarkan antaranya PH bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau PN bekerjasama dengan BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), serta cadangan supaya PH dan PN bergabung, sekali gus menjadi kerajaan kukuh yang mempunyai majoriti lebih dua pertiga.

BN, yang memiliki 30 kerusi dan menjadi rebutan kedua-dua blok, dalam mesyuarat Dewan Tertinggi pada Selasa (22 Nov) memutuskan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan.
Gabungan tersebut juga menyatakan bahawa tiada mana-mana Ahli Parlimen gabungan itu memberi sokongan terhadap pencalonan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10.

GPS yang memenangi 23 kerusi dan GRS, enam kerusi, masing-masing menyatakan sokongan untuk bersama PN manakala Parti Warisan (Warisan) yang memenangi tiga kerusi hari ini pula menyatakan sokongannya untuk PH dan BN membentuk kerajaan.

Berbekal pengalaman sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah jelas berhati-hati dalam mencari penyelesaian terbaik berhubung situasi sebegini dan meminta rakyat supaya terus bertenang dan bersabar, sementara menunggu pembentukan kerajaan baru.
Usai proses penerimaan cadangan gabungan yang akan membentuk kerajaan dan nama Perdana Menteri Malaysia yang berakhir pada pukul 2.00 petang pada Selasa, Al-Sultan Abdullah menitahkan ketua gabungan PH dan PN untuk menghadap baginda di Istana Negara pada pukul 4.30 petang berikutan tiada Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri seperti diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Harapan rakyat Malaysia untuk melihat Perdana Menteri dilantik pada Selasa belum tertunai dan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim yang memasuki Istana Negara pada pukul 4.10 petang, memaklumkan media yang berkampung sejak awal pagi bahawa belum ada sebarang keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri.
Presiden PKR itu berkata Seri Paduka bertitah supaya kerajaan yang akan ditubuhkan kelak, hendaklah inklusif mewakili semua pihak, kaum dan wilayah, serta dibentuk secara kukuh demi kepentingan rakyat dan pemulihan ekonomi.

Encik Muhyiddin, dalam sidang media sekembalinya dari Istana Negara, pula bertegas bahawa PN mempunyai sokongan dan sudah menghantar 115 Surat Akuan Bersumpah Ahli Parlimen secara online untuk membentuk kerajaan baru kepada Istana Negara, pada Isnin (21 Nov).

Beliau sekali lagi mengulangi pendirian bahawa PN tidak akan bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan.
Selepas ketiadaan sebarang keputusan, Seri Paduka menitahkan 30 Ahli Parlimen BN untuk menghadap baginda secara individu bermula pukul 10.30 pagi pada Rabu (23 Nov) di Istana Negara.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan