Skip to main content

Dunia

Pasaran bangkit semula setelah China, Amerika kurangkan tarif selama 90 hari

Anggaran Waktu Membaca:
Pasaran bangkit semula setelah China, Amerika kurangkan tarif selama 90 hari

Ilustrasi bendera China dan Amerika Syarikat. (Gambar hiasan: iStock)

Diterbitkan : 12 May 2025 10:40PM Dikemas Kini : 12 May 2025 10:41PM
LONDON/SHANGHAI:Saham bangkit semula pada Isnin (12 Mei) selepas pegawai China dan Amerika mengadakan perbincangan perdagangan yang "substantif" dan mengurangkan tarif balas masing-masing selama 90 hari, sekali gus memberi harapan bahawa kedua-dua pihak akan menarik diri daripada langkah-langkah yang telah mengganggu pasaran global.

Para pelabur menghadapi pelbagai cabaran sejak Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mendedahkan cukai yang mengejutkan terhadap rakan-rakan dagang pada 2 April, dengan cukai tertinggi dikenakan ke atas Beijing, menimbulkan kebimbangan tentang perang dagang antara dua kuasa terbesar ekonomi.

Presiden Amerika meningkatkan cukai terhadap China kepada 145 peratus, yang dibalas dengan kadar balas sebanyak 125 peratus.

Walau bagaimanapun, terdapat tanda-tanda bahawa ketegangan semakin reda.

Selepas dua hari menjalani rundingan yang dinanti-nantikan di Geneva, kedua-dua negara memuji kemajuan ke arah mengakhiri krisis yang menimbulkan kebimbangan tentang kemelesetan global.

Pada Isnin (12 Mei), kedua-dua pihak menyatakan mereka akan mengurangkan levi untuk meredakan ketegangan dan memberi pegawai masa untuk menyelesaikan perbezaan antara mereka.

Dalam kenyataan bersama, pihak Amerika menyatakan bahawa ia akan mengurangkan cukai kepada 30 peratus manakala tarif China akan dikurangkan kepada 10 peratus.

Pasaran Asia turut melonjak, dengan Hong Kong naik lebih 3 peratus manakala Shanghai juga menikmati minat pembelian yang sihat.

Tokyo, Sydney, Seoul, Taipei dan Wellington semuanya berada dalam kedudukan positif.

London, Paris dan Frankfurt semuanya meningkat lebih 1 peratus. Niaga hadapan (futures) Amerika melonjak lebih 1 peratus.

Mumbai melonjak lebih 3 peratus selepas India dan Pakistan bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada hujung minggu berikutan empat hari serangan peluru berpandu, dron dan meriam antara kedua-dua negara yang menyebabkan sekurang-kurangnya 60 orang maut dan ribuan lain terpaksa melarikan diri.

Bursa saham Pakistan melonjak lebih 9 peratus.

Harga minyak melonjak lebih 3 peratus disebabkan spekulasi bahawa pengenduran ketegangan China-Amerika akan mendorong permintaan.

Dolar juga meningkat 1 peratus berbanding euro dan yen. Emas, yang melonjak bulan lalu kerana orang ramai beralih kepada aset selamat, terus mengalami kerugian.

LEBIH BAIK DARIPADA JANGKAAN: PENGANALISIS

Zhang Zhiwei, ketua ekonomi di Pinpoint Asset Management di Hong Kong, berkata perjanjian itu lebih baik daripada yang dijangkakan.

"Saya fikir tarif akan dikurangkan ke sekitar 50 peratus dan ini jauh lebih rendah.

"Jelas sekali, ini berita yang sangat positif untuk ekonomi kedua-dua negara dan untuk ekonomi global, dan menjadikan pelabur kurang bimbang tentang gangguan kepada rantaian bekalan global dalam jangka pendek."

Namun, beliau berkata bahawa ini adalah pengurangan tarif sementara selama tiga bulan, menyebutnya sebagai "permulaan proses panjang" untuk mencapai perjanjian perdagangan akhir.

Kenneth Broux, ahli strategi kanan di Societe Generale di London, menyifatkan pengumuman pada Isnin sebagai "langkah ke arah yang betul".

"Dolar Amerika ketinggalan berbanding pasaran lain dalam pemulihan dari paras rendah April. Kita melihat ekuiti kembali ke tahap 2 April, kita melihat hasil bon naik ke tahap tersebut dan dolar sebenarnya ketinggalan," tambahnya.

"Kini keadaan semakin terbentuk untuk pelarasan yang lebih mendalam dan pemulihan dolar yang lebih besar untuk mengejar ekuiti dan hasil bon."

Kini dengan "lebih banyak kepastian", kedua-dua saham China dan yuan akan berada dalam aliran yang semakin naik untuk sementara waktu, kata William Xin, pengerusi dana lindung nilai Spring Mountain Pu Jiang Investment Management di Shanghai.

"Hasilnya jauh melebihi jangkaan pasaran," tambahnya.
 
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita