Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pasar raya Mydin larang penjualan produk yang ada label 'bebas minyak sawit'

Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), dalam menyokong gesaan kerajaan untuk memerangi kempen antiminyak sawit, sudahpun mengeluarkan produk dengan label 'bebas minyak sawit” dari rak-rak jualan rangkaian pasar rayanya di seluruh Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasar raya Mydin larang penjualan produk yang ada label 'bebas minyak sawit'

Cawangan Mydin di Majid India, Kuala Lumpur. (Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 05 Sep 2019 10:33PM Dikemas Kini : 05 Sep 2019 10:34PM

SUBANG JAYA: Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), dalam menyokong gesaan kerajaan untuk memerangi kempen antiminyak sawit, sudahpun mengeluarkan produk dengan label 'bebas minyak sawit” dari rak-rak jualan rangkaian pasar rayanya di seluruh Malaysia.

Pengarah Urusan Ameer Ali Mydeen berkata pelabelan itu, yang membawa maksud minyak sawit tidak baik, merupakan tindakan pemasaran tidak bertanggungjawab dan sebagai pasar raya utama yang bertanggungjawab di Malaysia, Mydin tidak akan menyokongnya.

“Sebagai warga negara yang bertanggungjawab, apabila kerajaan membuat keputusan, kita perlu sokong keputusan itu khususnya apabila ada pihak cuba melakukan sesuatu (yang negatif) kepada negara kita, adalah perbuatan tidak bertanggungjawab untuk kita tidak menyokongnya,” kata Encik Ameer kepada pemberita semasa pelancaran karnival "Sayangi Minyak Sawitku” anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia dengan kerjasama Mydin di Subang Jaya pada Khamis (5 Sep).

Karnival itu dilancarkan oleh Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim.

Berhubung kempen “Utamakan Beli Produk Keluaran Muslim”, Ameer berkata walaupun beliau seorang Bumiputera dan akan mendapat manfaat daripada kempen seumpama itu, beliau berpendapat kempen itu tidak wajar diadakan kerana ia merupakan langkah tidak sensitif dan naif dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Sebaliknya, beliau berkata semua rakyat Malaysia sepatutnya menyokong produk Muslim supaya dari segi ekonomi, Bumiputera boleh meningkat maju dalam perniagaan dan sekali gus seluruh negara mendapat manfaatnya.

Beliau menambah syarikat Bumiputera masih memerlukan bantuan untuk ia menjana keuntungan dan sebaik sahaja mereka mampu berbuat demikian, ia akan membantu seluruh negara dari segi rantaian bekalan dan pembuatan.

HARAP PASAR RAYA LAIN IKUT JEJAK LANGKAH SAMA

Sementara itu, Cik Kok memberitahu wartawan bahawa langkah berani Mydin untuk mengeluarkan produk dengan label “bebas minyak sawit” dari rak jualannya wajar dipuji dan beliau berharap pasar raya dan peruncit yang lain turut mengikut langkah tersebut.

Beliau berkata pemerintah Indonesia turut mengharamkan produk makanan dengan label itu, seperti diumumkan pada 21 Ogos lalu, dalam usahanya untuk melindungi komoditi itu daripada pemasaran negatif.

Cik Kok menambah kementeriannya sudahpun memaklumkan berhubung kemungkinan mengambil langkah serupa kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna setelah perkara itu diletakkan di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan dan beliau yakin perkara itu sedang diteliti. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan