Pasar raya Mydin 'halalkan' kes pecah masuk demi kelangsungan hidup
Susulan insiden pecah masuk ke premis gedung pasaraya besar Mydin, Pengarah Urusan Mydin Holdings Berhad, Encik Ameer Ali Mydin menghalalkan mereka yang melakukan perkara tersebut demi kelangsungan hidup.
Tular di media sosial Mydin "dirompak" oleh mangsa banjir susulan kekurangan bekalan makanan dan kekangan mendapatkan bantuan asas. (Gambar: Facebook/Dhuha Cafe)
KUALA LUMPUR : Susulan insiden pecah masuk ke premis gedung pasaraya besar Mydin, Pengarah Urusan Mydin Holdings Berhad, Encik Ameer Ali Mydin menghalalkan mereka yang melakukan perkara tersebut demi kelangsungan hidup.
Menurut laporan Astro AWANI, Encik Ameer menjelaskan dalam satu kenyataan hari ini (21 Dis) bahawa beliau tidak menyokong perbuatan mencuri, namun dalam keadaan darurat, mungkin mangsa banjir tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut.
"Saya ingin memberi maklum balas mengenai insiden pecah masuk ke premis Mydin Mart yang hangat dibincangkan di media sosial, media tempatan dan sebagainya.
"Sejujurnya saya tidak menyokong perbuatan mencuri, namun dalam keadaan darurat mungkin mereka tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut demi kelangsungan hidup.
"Dengan seikhlas hati, saya menghalalkan mereka yang melakukan perbuatan tersebut dengan niat meneruskan kelangsungan hidup akibat bantuan yang tiba lambat dan bukan dengan niat yang sebaliknya," jelas Encik Ameer, seperti yang dinukil Astro AWANI.
Beliau turut menyatakan simpati dengan insiden bencana banjir teruk yang melanda terutama ketika negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19.
Cawangan Mydin Mart, Sri Muda, Shah Alam turut musnah akibat banjir pada 18 Disember 2021 dan mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.
Beliau turut memohon rakyat Malaysia untuk memanjatkan doa kepada Allah SWT agar mangsa terselamat dan bencana banjir dan pandemik pulih seperti biasa.
Terdahulu, tular di media sosial Mydin "dirompak" oleh mangsa banjir susulan kekurangan bekalan makanan dan sebagainya dan kekangan mendapatkan bantuan asas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.