Pasangan warga emas ini tidak mampu naik pengangkutan awam; jalan kaki 4 jam untuk beraya dengan anak cucu

(Gambar: polressumedang/Instagram)
JAKARTA: Pasangan warga emas yang berazam untuk bertemu semula dengan keluarga pada Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, berjalan kaki selama empat jam kerana tidak mampu menaiki pengangkutan awam.
Pasangan di Indonesia itu merancang untuk melakukan perjalanan sejauh 17.5 kilometer dari rumah mereka di Jatihurip, Sumedang Utara ke Rancakalong, dengan berjalan kaki, lapor Kompas.
Kisah keazaman mereka untuk melihat orang tersayang menjadi tular selepas satu video dimuat naik polis Sumedang ke Instagram @polressumedang pada 26 April lalu.
Dalam video itu, para pegawai polis yang bertugas di Tol Cisumdawu di Jawa Barat menyedari pasangan warga emas itu berjalan kaki dan mendekati mereka untuk mengetahui kisah mereka.
Ternyata pasangan itu cuba menziarahi anak dan cucu mereka di Rancakalong.
Apabila para pegawai polis menghampiri mereka, pasangan itu berkongsi cerita menarik hati mengenai mengapa mereka berada di lebuh raya dengan berjalan kaki.
Pasangan itu cuba menziarahi anak dan cucu mereka di Rancakalong.
"Kami amat merindui cucu-cucu kami sehingga kami mengambil keputusan untuk menziarahi mereka semasa sambutan Aidilfitri, walaupun kami tidak mempunyai wang yang mencukupi," kata nenek itu kepada polis.
Para anggota polis yang terharu dengan kesungguhan pasangan itu meminta mereka berehat dahulu dan kemudian memberikan wang tunai untuk membiayai perbelanjaan perjalanan mereka.
Nenek itu melahirkan rasa syukur selepas menerima wang tersebut.
Polis kemudian mengiringi mereka ke perhentian pengangkutan awam, menurut Kompas.
Video tersebut mencetuskan pelbagai perasaan dalam kalangan netizen.
"Ya Allah, saya menangis menonton video ini. Keperitan dan kerinduan ibu bapa terhadap anak-anak mereka hampir tidak tertanggung," kata seorang netizen.
Netizen lain turut berasa lega dan gembira kerana pihak polis membantu pasangan itu dengan menyediakan perbelanjaan perjalanan yang diperlukan untuk bertemu semula dengan orang-orang tersayang.
"Terima kasih banyak-banyak para pegawai polis. Semoga anda semua dikurniakan ganjaran yang berlipat ganda oleh Allah," komen netizen lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.