Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pasangan suami isteri maut di Indonesia, Allahyarham Firdaus dikenali dalam kalangan anggota kumpulan tarikat

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Warga Singapura Firdaus Harun Rashid, 31 tahun, yang meninggal dunia dalam satu kemalangan di Jawa Timur, Indonesia awal dini hari Isnin (18 April) sangat dikenali dalam kumpulan tarikat di Singapura dan luar negara.

BERITAmediacorp difahamkan Allahyarham dari kumpulan tarikat Naqshbandi. 

Allahyarham dan dan isterinya, Allahyarhamha Al Haddad Amal Sheikh Aidaros, 30 tahun dilapor menaiki kereta jenis Toyota Vellfire rombongan kumpulan Debu sebelum ia melanggar belakang sebuah lori di Kota Probolinggo, Jawa TImur, Indonesia.

BERITAmediacorp difahamkan Allahyarham sering melawat para ulama dan menziarahi maqam-maqam wali di Indonesia dan negara-negara lain.

Gambar ihsan waris mangsa

Malah, pasangan tersebut sedang dalam perjalanan pulang dari menziarahi sebuah makam sebelum malang menimpa.

Di antara orang terakhir yang berinteraksi dengan beliau adalah kenalannya Encik Khawaja Ehsanullah Shah.

Encik Khawaja Ehsanullah Shah berkongsi bersama BERITAmediacorp bahawa mereka sempat berbual menerusi satu panggilan video pada malam Ahad.

"Kami berbual menerusi panggilan video sekitar 9 malam. Allahyarham memberitahu saya beliau dan isteri sedang membaca Tahlil di Maqam Habib Soleh Tanggul di Jawa Timur itu, " kongsi beliau.

Encik Khawaja Ehsanullah Shah adalah pengasas pusat ajaran kerohanian Islam "Being Centre" di Haji Lane dan mengenalinya sejak Allahyarham berusia 12 tahun lagi.

Beliau turut memuat naik catatan di Facebook tentang interaksi mereka pada malam itu.

"Anak-anak saya dan saya sendiri melambai kepadanya dan kami melihat dia tersenyum. Hanya Allah yang tahu perasaan kita.
Saya berharap saya menjawab semula panggilan telefon apabila dia menghubungi saya semula..."

Beliau terkejut menerima berita malang itu sekitar waktu fajar.

Muhammad Yunus Ibrahim, 33 tahun, juga terkejut dengan berita pemergian Allahyarham itu.

"Kami satu kem sewaktu menjalani perkhidmatan negara dalam pasukan Pertahanan Awam. Beliau sangat baik orangnya dan kami sering meminta beliau berkongsi tentang kerja-kerja dakwah yang dilakukannya," kongsi beliau.

Menurut Muhammad Yunus lagi, mereka sering berkongsi khabar menerusi panggilan telefon ataupun mesej.

Malah, beliau dan isteri pernah melawat restoran Hydeout, Mont Kiara, Kuala Lumpur milik Allahyarham beberapa tahun lalu.

(Gambar: Muhammad Yunus Ibrahim/Facebook)

Restoran itu menjual makanan jenis fusion Asia dan Barat.

Selain restoran, Allahyarham adalah pengasas Pusat Bayt al-Ahbab di Icon@Changi yang memaparkan artifak-artifak bersejarah Islam.

Semalam, seorang lagi kenalan rapatnya selama 20 tahun Ketua Pegawai Eksekutif SimplyIslam.sg Encik Mohamed Nassir Abdul Sukkur berkata Allahyarham sering menyertai acara-acara dakwah di luar negara.

Encik Mohamed Nassir pulang ke Singapura untuk membantu dalam pengurusan jenazah.

Beliau tiba di sini sekitar 11 malam semalam dari Kuala Lumpur, Malaysia, di mana beliau sedang melakukan pengajian PhD.

Menurutnya, bapa dan kakak Allahyarham Firdaus sedang berusaha menguruskan dokumentasi untuk membawa pulang kedua-dua jenazah dari Surabaya.

Beliau memberitahu BERITAmediacorp menerusi pesanan SMS bahawa belum pasti sama ada jenazah dapat diterbangkan pulang hari ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan