Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pasangan suami isteri di Ipoh didakwa bunuh, dera anak saudara

Seorang pesara tentera dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini (25 Mei) atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan yang juga anak saudara mereka dua minggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
IPOH: Seorang pesara tentera dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini (25 Mei) atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan yang juga anak saudara mereka dua minggu lalu.

Zainuddin Noh dan Norhazleyana Azreen Abdul Hamid, kedua-duanya berusia 40 tahun, didakwa bersama-sama menyebabkan kematian Aisha Farhana Muhammad Khirul Azral, lapan tahun, di sebuah rumah di Jalan Desa Pengkalan Bandaraya 18, Desa Pengkalan, Lahat antara 10.00 malam 13 Mei hingga 7.00 pagi 14 Mei lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pasangan suami isteri yang juga peniaga kecil itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis, namun tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Azlina Rasdi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nurul Syuhada Mohd Yusof.

Mereka juga menghadapi dua pertuduhan mendera kanak-kanak lelaki yang juga adik si mati dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norashima Khalid.

Kedua-duanya didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap mangsa berusia tujuh tahun itu, melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak itu dengan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal di tempat sama pada 1.30 tengah hari dan 10.30 malam, 13 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 (S$15,650) atau hukuman penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hafizah Mohammad Pauzi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bagi kes berkenaan.

Cik Nurul Hafizah tidak menawarkan jaminan kerana kedua-dua tertuduh telah didakwa atas pertuduhan membunuh dan mahkamah menetapkan 30 Jun untuk sebutan semula semua kes itu.

Pada 15 Mei lalu, polis menahan pasangan suami isteri itu menyusuli laporan kematian kanak-kanak perempuan berkenaan daripada pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun pada 3.14 pagi.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan