Pasangan suami isteri cacat penglihatan niaga sarung bantal, enggan susahkan orang lain
Sepasang suami isteri orang kelainan upaya (OKU) penglihatan memilih untuk berdikari dengan berniaga sarung bantal secara kecil-kecilan di Pasar Awam Kulim.
Cik Mona dan suaminya Encik Abd Hamid berulang-alik setiap hari dari Bukit Mertajam ke Kulim untuk menjual sarung bantal. (Gambar: Bernama)
KULIM: Sepasang suami isteri orang kelainan upaya (OKU) penglihatan memilih untuk berdikari dengan berniaga sarung bantal secara kecil-kecilan di Pasar Awam Kulim.
Dengan kemampuan yang terbatas, pasangan Cik Mona Ahmad, 41 tahun, dan Encik Abd Hamid Mat Piah, 58 tahun, terpaksa berulang-alik setiap hari dari rumah mereka di Bukit Mertajam, Pulau Pinang ke pasar awam demi mencari sesuap nasi.
"Ini rutin kami setiap hari sejak setahun lalu. Pada mulanya memang banyak cabaran (yang) perlu kami lalui termasuk untuk mengenal pasti jenis sarung bantal yang dijual supaya tidak timbul masalah semasa jual-beli.
“Kami sekarang sudah terbiasa, tidak pernah kesal dan berasa payah untuk berniaga di tempat terbuka serta bersaing dengan peniaga lain yang lebih bernasib baik kerana mempunyai semua pacaindera," kata pasangan itu yang ditemui Bernama di sini.
Menurut Cik Mona, berniaga sarung bantal bukan satu perniagaan yang lumayan, namun kerana berpegang kepada prinsip tidak mahu menyusahkan orang lain, rutin itu tetap diteruskan oleh mereka setiap hari.
"Pendapatan kami berdua menjual sarung bantal di sini tidaklah sebanyak mana, kadang-kadang hanya dapat RM40 (S$13) atau RM50 (S$16) sehari, dan ada ketika hanya mendapat RM15 (S$5) hingga RM20 (S$6) sahaja sehari," katanya.
Sarung bantal mereka dijual pada harga antara RM5 (S$1.60) dan RM8 (S$2.66) sehelai mengikut saiz dan jenis kain.
Lebih menyulitkan apabila mereka terpaksa pula berbelajan kira-kira RM40 sehari untuk kos pengangkutan pergi dan pulang.
Mereka yang sudah menganggap pekerjaan itu sebagai satu ibadah juga tidak mahu bergantung kepada perniagaan sarung bantal semata-mata.
Cik Mona juga melakukan pekerjaan sambilan mengambil upah mengurut berdasarkan tempahan.
Ditanya apa yang menjadi pendorong semangat mereka untuk gigih berniaga, Cik Mona berkata mereka sering menjadikan al-Quran sebagai penguat rohani dan jasmani.
Sementara itu, Cik Mona turut meluahkan rasa kesal kepada sesetengah golongan muda kini yang lebih suka menganggur daripada bekerja atau berniaga, walaupun tidak ada apa-apa kekurangan pada diri mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.