Skip to main content

Dunia

Pasangan kurang daya penglihatan berjaya tunaikan umrah

Anggaran Waktu Membaca:
MAKKAH: Hadir sebagai orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan mengerjakan Haji bagi pandangan manusia biasa bukanlah satu tugas yang mudah kerana banyak cabaran perlu ditempuhi di Tanah Suci.

Untuk menguruskan diri di bilik penginapan dan bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain juga cukup menyulitkan kerana semuanya berbeza dengan suasana di tanah air.

Paling mencabar ialah ketika mahu menunaikan ibadah umrah di Masjidil Haram seperti melakukan tawaf dan saie kerana perlu bersesak dengan jemaah yang ramai dari negara-negara lain,.

Tetapi apabila ditanya mengenai semua cabaran berkenaan, jawapan oleh pasangan suami isteri OKU dari Kuala Lumpur itu yang menjadi tetamu Allah pada tahun ini cukup memberi inspirasi.

Menurut mereka, semuanya boleh diatasi apabila sentiasa berfikiran positif, lapor Sinar Harian.

Muhammad Bukhara Zakaria, 64, dan isterinya, Siti Aidah Mustapha, 52, ketika ditemubual wartawan mengenai perjalanan Haji mereka banyak berkongsi kekuatan dalam diri warga OKU yang jarang ada dalam diri manusia biasa lain.

Hadir tanpa pengiring tetap untuk membawa mereka ke mana-mana, pasangan berkenaan yang dibantu petugas Tabung Haji (TH) Malaysia dan rakan sebilik, sudah berjaya mengikuti beberapa aktiviti yang dijadualkan untuk para jemaah haji.

Kata Encik Muhammad Bukhara, semasa di Madinah dia dan isterinya berjaya memasuki kawasan Raudhah sebanyak dua kali.

Dan perjalanan ke taman syurga itu berjalan dengan lancar walaupun ramai umat Islam kini tertumpu di Masjid Nabawi, menjelang bermulanya ibadah haji, lewat bulan ini.

“Saya nak bagi markah 100 peratus kepada petugas TH dan rakan sebilik di Madinah yang jaga kami dengan baik selama enam hari berada di sana. Semua perkara jadi lancar dengan bantuan mereka semua,” katanya.

Encik Muhammad Bukhara menambah, dengan keupayaan mereka sebagai suami isteri berada di Tanah Suci tanpa memberikan masalah kepada pihak TH, diharapkan ia akan menjadi satu penanda aras bahawa selepas ini tidak sukar bagi OKU untuk menunaikan Haji, seperti dipetik laporan Sinar Harian.

Cik Siti Aidah pula berkata, jemaah lain sentiasa membantu setiap kali melihat dia keluar daripada bilik penginapan.

“Mesti ada yang mahu tolong pimpin saya untuk ke Masjid Nabawi dan apabila masuk ke sana saya rasa amat seronok, satu perasaan yang sukar digambarkan,” katanya.

Mengulas mengenai kelancaran pergerakannya semasa berada di tanah suci, Siti Aidah berkata, ia mungkin didorong oleh doa yang sering dititipkannya supaya dipermudahkan segala urusan, menurut Sinar Harian.

“Keluarga dan anak-anak semuanya bimbang dengan keadaan kami tapi saya kata tidak perlu fikir perkara yang menyusahkan, fikir yang baik-baik dan sentiasa berserah kepada Allah,” katanya.

“Sebagai OKU, kita juga harus berusaha untuk berdikari dengan semaksimum mungkin kerana tidak mahu mengganggu fokus ibadah jemaah lain yang ada urusan peribadi masing-masing,” katanya.

Cik Siti Aidah berkata, di tanah airnya dia sudah biasa bersesak dan sentiasa menggunakan pengangkutan awam seperti transit aliran ringan LRT untuk ke tempat kerja di sebuah syarikat konglomerat terkenal.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita