Pasangan kekasih ‘zaman-berzaman’ ini tarik perhatian ahli arkeologi
Antara 4500 hingga 2500 BC, dua mayat yang dipercayai jasad pasangan suami isteri dikebumikan bersebelahan antara satu sama lain di sebuah tanah perkuburan purba di Harappans, iaitu salah satu tamadum terawal di dunia.

Pasangan kekasih ‘zaman-berzaman’ ini tarik perhatian ahli arkeologi. (Gambar: YouTube)
NEW DELHI: Antara 4500 hingga 2500 BC, dua mayat yang dipercayai jasad pasangan suami isteri dikebumikan bersebelahan antara satu sama lain di sebuah tanah perkuburan purba di Harappan, iaitu salah satu tamadum terawal di dunia.
Beberapa ribu tahun kemudian, pada 2013, sebuah pasukan penyelidikan yang terdiri daripada rakyat India dan Korea Selatan menjalankan kerja-kerja penggalian di kawasan itu, yang kini terletak di Rakhigarhi – iaitu sekitar 160 kilometer dari bahagian barat laut New Delhi. Ia sebahagian usaha untuk mengambil DNA daripada saki-baki jasad pasangan tersebut, lapor agensi berita CNN.
Semasa menjalankan proses penggalian yang berakhir tiga tahun kemudian, para penyelidik turut menemui berpuluh-puluh rangka manusia.
Antara rangka manusia yang ditemui adalah rangka pasangan suami isteri tersebut, menurut para penyelidik itu dalam satu kajian yang diterbitkan di dalam Jurnal Anatomi ACB. Mereka percaya bahawa saki-baki jasad pasangan itu adalah pasangan Harappan pertama yang disahkan disemadikan secara bersama.
“Kajian mendedahkan pasangan ini meninggal dunia pada waktu yang sama dan mereka juga disemadikan pada waktu yang sama,” kata Vasant Shinde, seorang ahli arkeologi yang mengetuai pasukan tersebut, seperti yang dipetik oleh CNN.
Encik Shinde menambah bahawa pasangan itu dipercayai sudah berkahwin kerana “sekiranya mereka menjalin hubungan sulit, para penduduk tidak akan memberikan mereka upacara persemadian yang sempurna.”
Namun sehingga kini, kematian mereka masih menjadi satu misteri. Bagaimanakah pasangan ini meninggal dunia pada waktu yang sama? Adakah mereka terkorban akibat penularan wabak? Ataupun mereka dibunuh dalam satu ritual? Atau mungkin pasangan ini memutuskan untuk sama-sama bunuh diri?
Ahli arkeologi tidak menjumpai sebarang tanda-tanda penyakit atau kesan luka pada rangka-rangka tersebut yang dapat memberi gambaran yang mereka mungkin dibunuh. “Tekaan kami, mereka mungkin meninggal dunia akibat kegagalan jantung,” kata Encik Shinde seperti yang dipetik oleh CNN. Beliau bagaimanapun menambah bahawa ini hanya satu spekulasi.
Dalam laporan itu, para saintis turut menolak kemungkinan bahawa wanita berkenaan, yang dipercayai berusia awal 20an tahun, membunuh dirinya selepas kematian suaminya, yang berusia antara 35 hingga 40 tahun.
Pasangan yang disemadikan secara bersama seperti kes di Rakhigarhi ini sudah lama menarik perhatian ramai dan mencetuskan pelbagai spekulasi, kata para saintis.
Pada 2007, ahli arkaeologi menjumpai saki-baki pasangan yang berpelukan semasa mereka sedang menjalankan kegiatan penggalian di sebuah tanah perkuburan Neologisme di Itali. Sehingga kini, punca kematian pasangan itu yang dikenali sebagai Kekasih Valdaro masih lagi dibahaskan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.