Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pasangan Kedah nikah tanpa kebenaran di Thailand meningkat

Kes pasangan dari Kedah yang berkahwin tanpa kebenaran di Thailand dilihat semakin membimbangkan kerana mencatat kenaikan lebih 40 peratus. Ini apabila 799 kes dicatatkan pada tahun lalu, berbanding 566 kes pada 2017.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasangan Kedah nikah tanpa kebenaran di Thailand meningkat

Gambar fail cincin . (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 03 Mar 2019 10:09PM Dikemas Kini : 03 Mar 2019 10:12PM

ALOR SETAR: Kes pasangan dari Kedah yang berkahwin tanpa kebenaran di Thailand dilihat semakin membimbangkan kerana mencatat kenaikan lebih 40 peratus. Ini apabila 799 kes dicatatkan pada tahun lalu, berbanding 566 kes pada 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Kedah, Dr Ismail Salleh, berkata jumlah itu merangkumi kesalahan pernikahan tanpa kebenaran dan berpoligami tanpa kebenaran yang direkodkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri itu.

"Kesalahan nikah di Thailand ini terbahagi kepada pernikahan tanpa kebenaran seperti nikah di sana (Thailand) sebab keluarga menghalang, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah) 2008, dan poligami tanpa kebenaran yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 124 enakmen sama.

"Sebanyak 502 kes pernikahan tanpa kebenaran dan 297 kes poligami tanpa kebenaran dicatatkan tahun lalu, manakala 406 kes pernikahan tanpa kebenaran dengan 160 kes poligami tanpa kebenaran pula direkodkan berlaku tahun sebelumnya," katanya ketika ditemui oleh agensi berita Bernama baru-baru ini.

Dr Ismail berkata berdasarkan statistik tahun lalu, pasangan dari daerah Kota Setar mencatatkan jumlah tertinggi yang melakukan kesalahan itu dengan 118 kes, diikuti Langkawi (116 kes), kubang Pasu (110 kes) dan Pendang (44 kes).

Beliau percaya masih ramai pasangan dari negeri itu yang berkahwin di negara jiran tidak mendaftarkan perkahwinan mereka di pejabat agama Islam di Malaysia, dan keadaan itu amat membimbangkan kerana ia akan memberi kesan terhadap hak isteri dan urusan pendaftaran anak.

Bagi menangani masalah itu, Dr Ismail berkata kerajaan negeri sudahpun mengambil inisiatif untuk melaksanakan kempen 'Jom Daftar Nikah' mulai 1 Mac. Inisiatif itu bertujuan menggalakkan pasangan yang belum mendaftar perkahwinan mereka untuk berbuat demikian.

Menerusi kempen itu katanya, pejabat agama Islam negeri akan menjadi pemudah cara termasuk membantu menyediakan segala urusan dokumentasi untuk pasangan tersebut mendaftarkan pernikahan mereka.

"Kempen ini merupakan hasil kesinambungan Program Mai Daftar Nikah 2018 daripada kerajaan negeri terdahulu, tetapi ditambah baik lagi dalam kempen yang kerajaan negeri sekarang buat kerana program dahulu dilihat tidak berjaya," katanya.

Bagaimanapun, Dr Ismail berkata pasangan terbabit tetap dikenakan denda yang akan ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Syariah berdasarkan kesalahan yang dilakukan.

"Saya jamin jumlah denda itu nanti tidak akan membebankan pasangan yang mendaftarkan pernikahan menerusi kempen ini dan saya pun dah jumpa Bahagian Keluarga Islam dan Yang Arif Datuk Mahkamah Syariah... kedua-dua (pihak) setuju dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk Kempen Jom Daftar Nikah ini," katanya. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan