Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pasangan ini saman klinik IVF selepas zuriat tertukar

Seorang wanita di Amerika Syarikat dan suaminya menyaman sebuah klinik kesuburan kerana menipu mereka dengan bayi yang bukan merupakan zuriat mereka berdua, menurut para peguam pasangan tersebut pada Isnin (8 Nov).  

Anggaran Waktu Membaca:
Pasangan ini saman klinik IVF selepas zuriat tertukar

(Gambar hiasan: Luma Pimental/Unsplash)

Diterbitkan : 10 Nov 2021 07:32PM Dikemas Kini : 10 Nov 2021 07:33PM

LOS ANGELES: Seorang wanita di Amerika Syarikat dan suaminya menyaman sebuah klinik kesuburan kerana menipu mereka dengan bayi yang bukan merupakan zuriat mereka berdua, menurut para peguam pasangan tersebut pada Isnin (8 Nov).

Apabila pasangan suami isteri Daphna dan Alexander Cardinale pertama kali menatap wajah cahaya mata mereka yang baru lahir, yang dilahirkan melalui kaedah persenyawaan in vitro (IVF), mereka perasan bayi perempuan itu mempunyai rambut yang hitam pekat dan warna kulit lebih gelap berbanding sesiapa pun dalam keluarga mereka.

Satu ujian DNA yang dijalankan beberapa bulan berikutan itu mendedahkan bayi perempuan, yang dilahirkan pada September 2019 itu, tiada pertalian darah dengan mereka berdua. Hakikatnya, pasangan itu sebenarnya sedang membesarkan anak orang lain.

Para peguam di Los Angeles berkata dua makmal yang terkait dengan seorang doktor tertukar embrio dua pasangan berasingan dan mengimplan embrio berkenaan dalam ibu yang salah.

Kedua-dua pasangan yang terjejas akhirnya bersemuka dan berurusan melalui mahkamah untuk mendapatkan semula hak penjagaan ke atas anak kandung masing-masing.

"Waktu anak perempuan kami lahir sepatutnya adalah antara detik terbahagia dalam kehidupan saya," ujar Encik Alexander Cardinale.

"Namun saya serta-merta berasa terkejut dan bingung mengapa saya tidak dapat mengecamnya.

"Apabila kebenaran terbongkar, ia menjadikan pertukaran anak itu lebih meluluhkan hati," luahnya.

"Kehilangan zuriat yang sepatutnya anda kenali, anak kandung yang anda belum bertemu ... ibarat satu mimpi yang ngeri."

Saman itu bertujuan untuk mendapatkan ganti rugi emosi, pampasan dan ganti rugi harta benda serta pelbagai kos lain, menurut para peguam dari Peiffer Wolf Carr Kane & Conway.

Dalam proses IVF, air mani dan benih disenyawakan dan dijaga dalam persekitaran makmal sebelum embrio yang terhasil diimplan ke dalam rahim ibu.

Kaedah itu lazimnya digunakan apabila pasangan menghadapi masalah untuk hamil. Ia juga boleh melibatkan pendermaan sama ada telur, sperma atau kedua-duanya.  

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan