Pasangan ini berjalan 500km, kutip 400kg sampah dalam 21 hari

(Gambar: Agensi berita)
KUALA LUMPUR: Pengalaman menetap selama hampir enam tahun di New Zealand dan melihat kebersihan di negara itu mendorong Cik Hafizah Bachik menjalankan misi berjalan kaki sambil mengutip sampah ke utara tanah air pada Jun lalu, lapor Harian Metro.
Cik Hafizah, 47 tahun, tidak berseorangan tetapi sebaliknya ditemani suami, Roman Onillon, 39 tahun, yang menjadi pencetus misi berkenaan.
"Saya menetap dan bekerja sebagai seorang barista di New Zealand dari tahun 2013 sebelum pulang ke Malaysia pada 2018. Sambil bekerja, saya turut ambil kesempatan melancong dan nampak keadaan persekitaran di sana sangat bersih.
"Jadi, itu salah satu sebab saya terima ajakan suami untuk lakukan misi pada Jun lalu kerana mahu beri kesedaran serta terapkan kepada masyarakat negara ini mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Berkongsi pengalamannya, Cik Hafizah berkata misi tersebut dijalankan selama 21 hari bermula 8 hingga 28 Jun lalu dan melibatkan perjalanan sejauh hampir 500 kilometer dari ibu kota Kuala Lumpur ke Langkawi, Kedah.
Cik Hafizah memberitahu Harian Metro misi itu adalah pengalaman pertamanya dan beliau menerima pelawaan suami kerana menganggapnya sebagai peluang untuk mereka sama-sama menyumbang bakti serta membuka mata masyarakat.
"Kira-kira Mac atau April lalu, suami ajak saya lakukan misi ini sebagai salah satu cara untuk kami luangkan masa bersama kerana katanya, COVID-19 masih ada dan nak ke mana pun susah.
"Saya okey asalkan bukan berbasikal. Jadi sebagai persediaan, dia ajak saya berjalan kaki ke Botanical Garden di sini dari rumah kami di Cheras. Ketika itu, saya boleh buat dan itu yang menyebabkan kami teruja untuk meneruskannya," ungkap beliau. .
Cik Hafizah berkata beliau dan suami masing-masing membawa beg berisi air mineral, cokelat, roti dan sedikit wang belanja untuk singgah makan di kedai berhampiran.
Biarpun teruja, Cik Hafizah mengakui berasa takut ketika hari pertama misi kerana perlu melalui jalan kampung.
"Saya masih ingat lagi, hari pertama hujan dan perasaan takut juga gementar itu ada namun pada permulaan saja. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar, malah kebanyakan pemandu yang lalu lalang berhenti kerana mahu tumpangkan untuk naik kereta mereka.
"Lebih membuatkan kami terharu apabila ada yang kebetulan menonton video kami di TikTok kemudian datang memberikan minuman dan makanan waktu terserempak dengan kami di jalanan.
"Cuma, cabaran tetap ada apabila kaki suami saya terseliuh pada hari ketiga selepas termasuk di dalam lubang. Ia menyebabkan kami terpaksa berehat untuk beberapa hari sebelum teruskan semula perjalanan.
"Soal tempat bermalam tiada masalah kerana ada sebuah syarikat menaja penginapan kami berdua di hotel berhampiran sepanjang perjalanan," kongsinya kepada Harian Metro.
Menurut Cik Hafizah, beliau dan suami berjalan kaki dengan purata antara 20 hingga 25 kilometer setiap hari, bergantung kepada keadaan.
Sepanjang misi berkenaan, Cik Hafizah berkata beliau dan suami akan mengutip semua sampah serta sisa buangan yang dilihat.
"Kami gunakan besi pengutip sampah untuk kutip dan masukkan ke dalam plastik. Sepanjang perjalanan, kami dapat mengutip kira-kira 400 kilogram sampah daripada awal sehingga tiba di Langkawi.
"Ia satu pengalaman yang menyeronokkan malah kenangan terindah sebenarnya buat saya dan suami. Jadi, misi itu bukan yang terakhir kerana kami merancang adakan misi sama ke selatan tanah air pula tahun depan dan buat masa ini, ia masih dalam peringkat perbincangan," ujarnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.