Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pasangan adik beradik SG berjaya kumpul S$42,000 buat mangsa gempa Turki

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Pasangan adik beradik dari Singapura, Tajjlee Rahim dan Sriwayuni Rahim masih lagi dibelenggu perasan cemas dan takut selepas kejadian gempa bumi yang melanda Turki Isnin lalu (6 Feb).

Pasangan adik beradik itu aktif mengongsi perkembangan terkini keadaan di sana di akaun Instagram masing-masing.

Pesanan ringkas (SMS) dan mesej yang mereka diterima bertali arus apabila pengalaman cemas mereka itu tersebar luas.

"Sebenarnya dua malam lepas, kita masih penat, tidur pun tak betul, jadi dia (Cik Sriwayuni) sedang menjawab mesej dari pengikut di Instagram. Apabila dia membalas mesej itu, kita perasan ada beberapa orang yang katakan "Alhamdulillah korang selamat, mengapa anda tidak lakukan sesuatu kerana anda di sana, banggakan kami", ujar Encik Tajjlee.

Ramai yang bertanyakan khabar dan ramai pula yang melahirkan hasrat untuk menghulurkan bantuan.

Dari situ timbul idea untuk melancarkan satu usaha kutipan derma untuk membantu para mangsa.

Usaha mengumpul dana selama sehari itu dimulakan pada Rabu (8 Feb).

Hantaran itu dikongsikan sebanyak lebih 470 kali di laman Instagram mereka.

Menurut Encik Tajjlee, mereka turut dihubungi para pengikut dari Brunei dan Nigeria yang ingin membuat sumbangan.

Hasil usaha murni itu, mereka berjaya mengumpulkan sebanyak S$42,847.91.

Mereka mendapatkan bantuan pemandu pelancong mereka, Deniz Sahbaz untuk mengagihkan wang yang didermakan itu.

"Pada malam kejadian itu kita nampak ambulans ulang alik dari Cappadocia ke tempat kejadian itu dan memakan masa selama 12 jam kerana tidak cukup kenderaan. Dari situ tercetus idea untuk membantu mereka. Kami berbual dengan Deniz (pemandu pelancong) dan katakan kami sedang kumpulkan dana dan kalau kita salurkan kepada anda dan kemudian anda salurkan kepada badan-badan anda bekerjasama boleh atau tidak?

"Jadi kita salurkan kepada Deniz dan menyediakan dokumentasi kerana ia satu amanah. Kami letak nama penuh, nombor urus niaga dan nombor rujukan," kongsi Encik Tajjlee.
(Gambar: Tajjlee Rahim) Kiri ke Kanan: Tajjlee Rahim, Hayriye Sahbaz (isteri Deniz), Sriwayuni Rahim, Deniz Sahbaz, rakan sekerja Hayriye.
Encik Tajjlee memberitahu BERITAMediacorp bahawa S$20,000 sudah diagihkan pada 8 dan 9 Feb manakala selebihnya akan disalurkan pada 10 Feb.

Walaupun mengalami pengalaman pahit semasa bercuti di Turki, pasangan adik beradik itu masih akan pulang ke Turki pada masa hadapan.

"Tanpa ragu-ragu kami akan katakan kami akan tetap datang ke Turki. Tak semua orang berpeluang untuk mengalami pengalaman ini," ujar Encik Tajjlee.

"Tanpa pengalaman ini, kami dengan orang-orang Turki tidak akan rapat sepeeti ini. Kami rasakan kasih sayang mereka. Keluarga Deniz dan pemandu kami Ali menghargai usaha kami," kata Cik Sriwayuni.

Pasangan adik beradik itu masih di Turki dan dijadualkan pulang ke tanah air pada Selasa depan (14 Feb).
(Gambar: Tajjlee Rahim) Dari kiri ke kanan: Ali (pemandu), Tajjlee Rahim, Deniz Sahbaz (pemandu pelancong), Sriwayuni Rahim
RLAF, MERCY RELIEF KUMPUL DANA BUAT MANGSA TURKI/SYRIA

Dalam pada itu Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) akan mengadakan kutipan derma di masjid-masjid serata Singapura melalui tabung amal untuk menyokong bantuan kemanusiaan mangsa gempa di Turki.

RLAF akan menjalankan kutipan dana secara online pada Jumaat (10 Feb) sehingga 24 Februari.

Ia termasuk sumbangan melalui PayNow, pemindahan bank dan penghantaran cek.

Mercy Relief pula sudah memulakan kutipan derma buat membantu mangsa-mangsa Turki.

Dana-dana yang dikumpulkan kemudian akan disumbangkan ke Hayrat Yardim, sebuah badan bantuan kemanusiaan di Turki.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan