Skip to main content

Dunia

Pasangan adik-beradik ini mula menabung sejak kecil, akhirnya terpilih ke Tanah Suci

Anggaran Waktu Membaca:
Pasangan adik-beradik ini mula menabung sejak kecil, akhirnya terpilih ke Tanah Suci

Gambar: Agensi Berita

Diterbitkan : 14 Jun 2022 07:36PM Dikemas Kini : 14 Jun 2022 07:37PM

KUALA NERUS: "Kami kumpul duit sejak kecil untuk pergi haji," kata pasangan adik-beradik, Raja Ahmad Hazwan Yusof dan Raja Ahmad Falahi.

Raja Ahmad Hazwan, 30 tahun, berkata, beliau dan abangnya, Raja Ahmad Falani, 33 tahun, menanam hasrat untuk menunaikan ibadah haji pada usia muda dan ini mendorong mereka untuk berjimat cermat dan menyimpan wang sejak kecil, seperti dinukil BH Online. 

"Kami menyimpan cita-cita menunaikan haji di usia muda dan menyimpan duit termasuk duit raya sejak dari kecil dan tidak pernah mengusik duit berkenaan walaupun dalam keadaan terdesak," kata beliau yang bekerja sebagai pemandu lori milik syarikat perniagaan keluarganya.

Raja Ahmad Hazwan berkata, beliau berterima kasih kepada ibu dan bapa, Yusof Raja Yunus, 59 tahun dan Fazidah Abu Bakar, 58 tahun kerana sejak mereka dilahirkan, wang yang dihadiahkan saudara mara disimpan sebelum membuka akaun Tabung Haji pada 2008.

Beliau yang tinggal di Kampung Kesom, Manir, turut bersyukur kerana selain beliau dan abang, turut bersama mengerjakan rukun Islam kelima itu adalah isteri, Nur Izzati Abdullah, 33 tahun dan kedua ibu bapa beliau, lapor BH Online. 

"Saya gembira kerana dapat menunaikan ibadah haji hasil duit simpanan sendiri tanpa bantuan ibu bapa.

"Malah, hasil simpanan itu juga, saya mampu membiayai perbelanjaan mengerjakan haji untuk isteri yang sepenuh masa menjadi suri rumah," kata beliau.

Sementara itu, Encik Yusof berkata, beliau bersama isteri sentiasa menasihatkan mereka supaya sentiasa menanamkan tabiat menabung dan sikap berjimat cermat, lapor BH Online. 

"Ini adalah haji pertama saya dan bersyukur apabila kami lima beranak terpilih untuk ke Tanah Suci selepas dua tahun tidak dapat menunaikan ibadah berkenaan walaupun sudah menerima tawaran pada 2020.

"Semoga urusan haji kami di bumi Makkah berjalan lancar," kata beliau ketika ditemui di Kuala Nerus hari ini (14 Jun). 

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita