Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PAS yakin mampu pertahan Kedah, Kelantan & Terengganu jelang PRU15

Anggaran Waktu Membaca:
PAS yakin mampu pertahan Kedah, Kelantan & Terengganu jelang PRU15

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Awang Hashim. (Gambar: BERNAMA)

PENDANG: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Awang Hashim melahirkan keyakinan bahawa parti itu mampu mempertahankan negeri Kedah, Kelantan, dan Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut beliau, momentum kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor juga tidak boleh dijadikan indikator sebenar dalam menentukan kejayaan parti berkenaan dalam PRU15, lapor Astro AWANI. 

Menurut Ahli Parlimen Pendang itu, beberapa perkara dilihat menjadi punca kepada kemenangan BN di kedua-dua negeri tersebut seperti perpecahan parti pembangkang, pertembungan BN-PN yang berada dalam kerajaan selain peratusan keluar mengundi yang rendah.

"Untuk negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu, insya'Allah tidak ada kesan (kepada kerajaan negeri dalam PRU15), mungkin lebih (banyak kita akan menang) dan (pencapaian akan jadi) lebih baik.

"Bagi saya, dengan keadaan prestasi yang berlaku (di mana) BN menang di PRN Melaka dan Johor bukan menjadi indikator di peringkat nasional (PRU15), ia bukan menjadi penanda aras untuk itu.

"Ini disebabkan pada masa itu, pembangkang pun berpecah, PN yang berada dalam kerajaan bertembung dengan BN (yang juga berada) dalam kerajaan. Ini satu perkara yang pelik, pengundi pun keliru, PN itu kerajaan, BN itu kerajaan, tetapi kita bertembung, pembangkang pula berpecah," ujar beliau.

Awang berkata demikian semasa sidang media Program Jom Masuk TVET@KSM bersama Komuniti Pendang, di Dewan Cenderawasih pada Ahad (20 Mac). 

Rabu lalu (16 Mac), Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan keputusan yang dibuat kerajaan negeri untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga tamat penggal ini bukan disebabkan PAS 'takut' sekiranya kalah dalam PRU15.

Sebaliknya, menurut beliau, ia bagi membolehkan kerajaan Kedah meneruskan kerja pentadbiran serta menguruskan negeri tanpa sebarang gangguan dan 'percaturan' politik pihak tertentu.

Untuk rekod, sewaktu PRN Johor, BN memenangi 40 kerusi DUN, berbanding PN yang hanya menang tiga kerusi, selain gabungan PH-MUDA (13 kerusi DUN).

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan