Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PAS yakin Bersatu bersih dari tuduhan terima dana syarikat judi

Anggaran Waktu Membaca:
PAS yakin Bersatu bersih dari tuduhan terima dana syarikat judi

Presiden PAS Abdul Hadi Awang. (Gambar fail: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: PAS yakin sekutunya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersih dari sebarang tuduhan yang mengaitkan parti itu dengan dana syarikat judi ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, lapor Astro AWANI. 

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, tuduhan-tuduhan yang dibuat terhadap Bersatu hanyalah bersifat fitnah tanpa sebarang bukti.

Beliau juga menegaskan pihak yang membuat tuduhan tersebut perlu mengemukakan bukti bahawa Bersatu menggunakan dana dari syarikat judi untuk membiayai kempen pilihan raya.

"Memang kita dengan Bersatu terbuka kerana di sana ada gabungan Perikatan Nasional, ada laporan dalam mesyuarat, oleh sebab itu kita yakin Bersatu ini bersih dan berterus terang dengan kita.

"Tuduhan-tuduhan itu lebih kepada fitnah, bahkan mengikut kaedah perundangan sekarang termasuk yang mereka ambil dari Islam, yang dituduh tak dianggap salah, mesti dibuktikan, kalau berani biar mereka buktikanlah.

"Kita tidak mahu tuduhan-tuduhan sahaja kerana kita lihat Pakatan Harapan (PH) ini banyak melemparkan tuduhan-tuduhan, terlalu banyak sangat.

"Yang ada kes tetap tidak selesaikan, dihentikan... yang dah ada, cari yang baru, adakan yang baru," katanya kepada media selepas majlis pelancaran Jejak Nabi Muhammad SAW yang ditulisnya terbitan Yayasan Permata Ummah dan Pustaka Permata Ummah.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim pernah membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terbabit dengan cabutan khas.

Pada Khamis, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said dalam kenyataan bertulis memaklumkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur penerimaan rasuah termasuk sumber dana oleh parti kerajaan ketika itu seperti yang didakwa.

Cik Azalina berkata, SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan, bagaimanapun, agensi itu mendapati maklumat tersebut terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu.

Bagaimanapun, pada Jumaat (26 Mei), Cik Azalina menegaskan siasatan dakwaan dana judi melibatkan PN, tidak dihenti atau digugurkan.

Menyusuli jawapan Cik Azalina pada Jumaat, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memberitahu akan berbincang dengan peguamnya untuk mengambil langkah seterusnya terhadap kenyataan yang dibuat oleh Encik Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan